Berita

MyCARE edar bantuan bernilai RM628,000 kepada mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

- Diterbit 3 Mac 2023 2:27 PM MYT

DALAM usaha meringankan beban mangsa gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria awal Februari lepas, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah mengedarkan bantuan bernilai RM682,000 kepada mangsa menerusi misi bantuan kemanusiaan gempa Turkiye dan Syria setakat Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata bantuan tersebut merangkumi Fasa 1, 2 dan 3 melibatkan pelbagai jenis bantuan seperti makanan dan minuman, alat pemanas, khemah dan sebagainya.

Beliau berkata bagi Fasa 1 dan 2, sebanyak 650 pek makanan, 10,200 pek roti, 1,100 makanan panas (dalam pot) dan 30 khemah telah diedarkan kepada 12,200 penerima daripada 1,106 keluarga yang bernilai RM345,000.

“Ini antara usaha kami untuk meyakinkan masyarakat Malaysia bahawa sumbangan mereka telah disalurkan sebahagiannya. Kalau ada kesempatan, kami akan masuk ke Syria dan menyalurkan sebahagiannya lagi,” katanya.

Beliau berkata kepada Bernama TV selepas menyalurkan 150 pek makanan panas kepada mangsa gempa bumi di Reyhanli, Turkiye yang turut disertai Pengerusi MyCARE Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata bagi Fasa 3, MyCARE telah mengedarkan bantuan bernilai RM337,000 melibatkan 3,000 bakul makanan, 2,600 kit kebersihan, 5,000 makanan panas, 25 khemah serta 10 peralatan prostetik kepada 10,735 individu.

Mengulas mengenai krisis kemanusiaan dan skala kemusnahan akibat gempa tersebut, Presiden bagi Southeast Asia Humanitarian Committee (SEAHUM) itu berkata keadaan adalah sangat meruncing.

“Di Kahramanmaras (Turkiye) semalam (Rabu), terdapat 15,000 mangsa dikebumikan di sebuah tanah pengebumian. Di Antakya (Tukiye) pula, kesan gempa bumi sangat dahsyat dan menyebabkan seluruh bandar Antakya boleh diklasifikasikan sebagai hancur.

“Mereka perlu ratakan kesemua bangunan yang hancur dan tidak lagi sesuai untuk didiami sebelum membangunkan semula bandar tersebut,” katanya.

Sementara itu Kamal Nasharuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan yang diberikan terhadap MyCARE untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi.

“Sumbangan ini sebenarnya hasil daripada kutipan dana rakyat Malaysia yang disalurkan MyCARE dan MyCARE salurkan kepada rakan NGO di sini yang bertanggung jawab menyediakan makanan dan sumbangan lain.

“Ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di Turkiye,” kata beliau. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas