Berita

Program CSR i-LEARN Ace bantu calon SPM 2020

- Diterbit 18 Disember 2020 8:02 AM MYT

SASBADI Holdings Berhad dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan TM One secara rasminya melancarkan inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) dengan nama Program CSR i-LEARN Ace SPM.

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Sasbadi, Huawei dan TM One telah mengambil keputusan untuk menyediakan kandungan digital berkualiti yang membolehkan pelajar untuk belajar di rumah dengan kerugian minimum dari segi kualiti dan ekuiti.

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui berkata ia adalah tanggungjawab sosial mereka untuk memastikan pelajar menerima sokongan untuk melakukan yang terbaik dalam SPM.

“Bagaimana Sasbadi dapat memainkan peranan adalah dengan menyediakan bahan pembelajaran yang tepat, komprehensif dan dipercayai yang digandingkan bersama peralatan digital untuk membantu pelajar mengulangkaji secara efektif di rumah,” kata Law King Hui dalam satu kenyataan media hari ini.

Naib Presiden Huawei Malaysia Cloud dan AI, Lim Chee Siong berkata melalui inisiatif ini, mereka juga dapat membantu mempercepatkan transformasi digital industri pendidikan.

“Inisiatif CSR ini hanyalah satu aspek dalam kolaborasi jangka masa panjang bersama kedua rakan kongsi kami, TM One dan Sasbadi.

“Bersama, kami berharap untuk mencipta lebih banyak penyelesaian teknologi yang dapat memanfaatkan pelajar-pelajar dari semua lapisan masyarakat menghadapi saat tidak diduga ini,” kata Lim Chee Siong.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ahmad Taufek Omar berkata dengan jumlah pelajar yang ramai dijangkakan untuk mengakses i-LEARN Ace, penting untuk mereka memastikan pelajar-pelajar ini menerima pengalaman program yang lancar dan tanpa sebarang gangguan.

“Melalui inisiatif ini, TM One sebagai penyedia servis pengkomputeran awan, akan memperkasakan adaptasi pendidikan digital dengan lebih cepat ke arah menyampaikan pengalaman terbaik untuk pengguna,” ujar Ahmad Taufek.

Pendaftaran program telah dibuka pada 1 Disember 2020 dan telah menerima lebih daripada 20,000 pelajar yang telah mendaftar dalam masa dua minggu yang telah menerima akses log masuk.

Program CSR i-LEARN Ace akan terus menerima pendaftaran di spmcsr.ilearnace.com sehingga akhir peperiksaan SPM pada Mac 2021. – OLEH AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas