Berita

Veteran tentera rayu bantuan Datuk Bandar

RUMAH PPR yang disediakan DBKL membantu mengurangkan kos
- Diterbit 18 Disember 2020 7:23 AM MYT

SABAN hari, Talian Pertanyaan dan Aduan Kepada Menteri Wilayah Persekutuan (PERTIWI) akan dihujani dengan persoalan berkaitan isu perumahan awam (PA)
dan projek perumahan rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Warga kota bukan hanya mempersoalkan tentang cara untuk mendapatkan unit sewaan, ada juga mempertikaikan proses kelulusan permohonan.

Malah, kebanyakan aduan yang diterima, warga kota menzahirkan rasa duka cita kerana permohonan masih dalam proses walaupun sudah bertahun-tahun
menghantarnya.

Seperti yang dialami oleh veteran tentera, Rosli Denan, permohonan untuk menduduki rumah sewa PPR DBKL sudah dilakukan sejak 2008, namun sehingga kini namanya masih dalam senarai menunggu.

“Saya mempunyai nombor pendaftaran bagi permohonan tersebut.

“Surat rayuan juga sudah dihantar berulang kali kepada DBKL tetapi sudah 12 tahun berlalu, nama saya masih dalam senarai menunggu,” adunya.

Menurut Rosli, dia merupakan veteran tentera yang tidak berpencen dan hanya membanting tulang untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.

Ujarnya, dalam keadaan umur melebihi 56 tahun, dia sukar untuk mengerah kudrat bagi membayar sewa rumah yang berharga RM750 setiap bulan.

Lebih menyedihkan apabila, selain sewa rumah, perbelanjaan harian dan dapur perlu disara bagi memastikan kesejahteraan keluarganya.

“Oleh itu, saya berharap mendapat pertimbangan dan tindakan sewajarnya dari
Datuk Bandar bagi membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung,” rintihnya sedih.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas