Berita

Prima Technology bantu penduduk

AMIR (tengah), Simon Liew (hujung kanan) dan Rosmani bersama penerima 50 bakul makanan di Kampung Sungai Bedaun.
- Diterbit 18 Disember 2021 5:00 AM MYT

SEBANYAK 1,500 bakul makanan yang disumbangkan oleh syarikat swasta Prima Technology yang telah diagihkan mengikut fasa dari era pandemik sehingga kini pasca pandemik COVID-19 kepada golongan yang terkesan di pulau ini.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berkata, pihak Perbadanan Labuan (PL) akan terus berusaha membantu penduduk dalam tempoh pasca pandemik COVID-19 yang memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan sosial.

Katanya, usaha kebajikan pasca pandemik COVID-19 akan diteruskan dengan melanjutkan program pemberian bakul makanan kepada penduduk di 27 buah kampung yang terkesan.

“Pandemik COVID-19 telah merubah cara kehidupan harian kita secara keseluruhan. Tiada siapa pun yang berpengalaman berhadapan dengan situasi sosial, ekonomi dan politik seperti ini,” katanya dalam program pengagihan bakul makanan di Kampung Batu Manikar di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prima Technology, Datuk Seri Simon Liew berkata, melalui tanggungjawab sosial syarikatnya sentiasa bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membantu kehidupan penduduk Labuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Hari ini, pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak kehidupan warga Labuan, kami di Prima Technology berpegang kepada konsep ‘Keluarga Malaysia’ akan sentiasa berusaha membantu orang ramai yang menghadapi kesukaran khususnya di pulau ini,” katanya.

Dua kampung terakhir yang menerima 50 bakul makanan dalam program 1,500 bakul makanan kepada 27 buah kampung adalah Kampung Batu Manikar dan Kampung Sungai Bedaun.

Hadir sama dalam program itu, Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh dan Ketua Kampung Batu Manikar, Mohd Ismail Abdul Rahman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas