Berita

PPZ-MAIWP, syarikat korporat bantu golongan terkesan PKP dan banjir

- Diterbit 29 Januari 2021 2:01 PM MYT

PUSAT Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima sumbangan bernilai RM200,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad bagi membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya di Kuala Lumpur, Labuan dan Sabah.

PPZ-MAIWP dalam kenyataan memaklumkan syarikat korporat itu antara yang terawal tampil bekerjasama menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung melalui Bakul Rezeki Khaira PPZ.

Dalam pada itu, PPZ-MAIWP turut melancarkan Misi Pasca Banjir Khaira PPZ 2021 yang bertujuan untuk menyantuni mereka yang ditimpa musibah banjir baru-baru ini.

“Cakna akan kesukaran dihadapi, PPZ-MAIWP bekerjasama dengan pembayar zakat korporat iaitu Etiqa General Takaful Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri Pahang dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM70,000 yang akan memberi manfaat kepada 300 keluarga,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sumbangan adalah berbentuk barangan keperluan seperti tilam, katil dan barangan perkakas rumah, baucar KFC dan 200 helai telekung.

Menerusi kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata Khaira PPZ akan sentiasa aktif menyantuni mereka yang memerlukan di samping menyokong agihan zakat dilaksanakan oleh MAIWP.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat, syarikat korporat dan semua pihak yang layak menunaikan zakat untuk terus menunaikan zakat di PPZ-MAIWP bagi menampung perbelanjaan asnaf yang semakin meningkat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas