Berita

KeTSA bentang dasar penting berkaitan tanah, perhutanan pada MTN ke-78

- Diterbit 29 Januari 2021 3:31 PM MYT

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melakar sejarah dalam bidang pengurusan perhutanan dengan penerimaan Dasar Perhutanan Malaysia 2020 (DPM 2020) yang melibatkan konsultasi ketiga-tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan hari ini berkata dasar itu menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata perkara itu diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 hari ini yang membentangkan lapan kertas mengenai beberapa dasar penting berkaitan tanah dan perhutanan.

“MTN juga bersetuju Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 (DPSM 2020) menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) yang terpakai di Semenanjung,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat secara persidangan video serta dihadiri menteri kanan, menteri Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dan menteri besar atau ketua menteri dalam perutusannya menyatakan sudah tiba masanya negara melihat impak pembangunan industri sektor sumber asli dalam konteks kelangsungan kehidupan manusia dan pemeliharaan khazanah alam.

Sehubungan itu, KeTSA dan Kementerian Alam Sekitar dan Air telah diarahkan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan tindakan penyelesaian segera dan praktikal berhubung isu pengkuarian dalam Hutan Simpanan Kekal dan kawasan berhutan lain yang berfungsi sebagai rizab hidupan liar, kawasan penempatan Orang Asli dan masyarakat setempat, kawasan tadahan air serta kawasan sensitif alam sekitar yang lain.

Shamsul Anuar berkata turut dipersetujui dalam mesyuarat itu adalah Rang Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 kecuali cadangan pindaan mengenai peruntukan mengadakan penyiasatan awam dan keperluan untuk penggantian serentak Hutan Simpanan Kekal yang diwarta keluar.

Katanya, MTN juga bersetuju dengan Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) (Borang-Borang Permohonan) (Pindaan) 2020 dan pindaan ke atas Jadual Kelima Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318].

“Kami turut mempersetujui cadangan penggubalan Akta Tanah Kampong Bharu dan Pemansuhan Kaedah-Kaedah Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Bharu (Kuala Lumpur) 1950.

“MTN kali ini juga mengambil maklum berkenaan pelaksanaan program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh KeTSA bertemakan ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025,” katanya.

Shamsul Anuar berkata perkara penting yang dibentang dalam mesyuarat itu juga berkenaan pelaksanaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) yang menyediakan tatacara jelas kepada pengguna dan pemberi sumber biologi untuk mengakses sumber biologi termasuk pengetahuan tradisi serta perkongsian faedah.

Katanya MTN ke-78 juga dimaklumkan berkenaan penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan pemantauan tanah negara oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang ia dapat membantu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan agensi Kerajaan dengan menambah baik kaedah penyampaian menerusi aplikasi teknologi baharu yang dapat menjimatkan kos serta masa dan justeru itu, Perdana Menteri menyarankan agar teknologi angkasa diaplikasikan dalam pengurusan sumber semula jadi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas