Berita

PPZ-MAIWP kutip RM4 juta zakat fitrah tahun ini

AHMAD SHUKRI menyerahkan resit pembayaran zakat fitrah daripada penghuni di Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur kelmarin.
- Diterbit 23 Mei 2020 11:04 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan rekod baharu apabila membuat kutipan zakat fitrah sehingga RM4 juta bagi transaksi dalam talian sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kutipan tahun ini menunjukkan peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu.

“Kalau tahun lepas kutipan kita dalam talian RM400,000. Alhamdulillah pagi tadi kutipan kita sudah capai RM4 juta untuk zakat fitrah.

“Dana zakat fitrah ini adalah di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di mana tahun lepas saja lebih kurang RM9.8 juta berjaya dikutip termasuk PPZ,” katanya kepada pemberita dalam Program Syukuri Nikmat Menjelang Hari Raya Bersama Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Kata Ahmad Shukri, pihaknya yakin kutipan bertambah atas faktor orang tidak pulang ke kampung dan tidak keluar rumah sekali gus memilih melaksanakan ibadah itu menerusi saluran dalam talian fitrah.zakat.gov.my.

Sementara itu, katanya, kutipan zakat fitrah mencatatkan peningkatan sehingga 8 peratus pada tahun ini melalui kedua-dua kaedah iaitu secara manual dan dalam talian

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan yang terus memberikan kepercayaan kepada PPZ,” katanya.

Ahmad Shukri memberitahu, pihaknya turut menyalurkan menyumbang kepada individu yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan menerusi Tabung Musa’adah Covid-19 dengan membelanjakan RM6 juta melibatkan  20,000 penerima.

“Istimewanya Tabung Musa’adah Covid-19, kita membuat agihan di seluruh negara tanpa mengira agama dan kaum.

“Untuk orang Islam, kita guna dana zakat manakala bukan Islam kita guna dana CSR,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas