Berita

Elak kunjungi sanak saudara, ziarah kubur di Aidilfitri

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 23 Mei 2020 11:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan terus menasihatkan masyarakat agar menangguhkan amalan berkunjung ke rumah keluarga lain dan rakan selain mengelak menziarahi kubur pada Aidilfitri nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai juga perlu mengelakkan perjalanan merentas negeri yang mungkin boleh mengakibatkan penularan ke kawasan lain
terutamanya ke zon hijau.

Katanya, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada kluster Pengerang apabila penyebaran virus berlaku akibat merentas negeri manakala sub-kluster Rembau, penyebaran jangkitan berlaku akibat aktiviti mengunjungi sanak saudara.

“Nasihat kita kepada mereka yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga, ini adalah satu pengorbanan kepada keluarga dan negara supaya kita sama-sama dapat memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita kena jaga kita, jaga keluarga kita dan jaga masyarakat kita,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jika sebelum ini masyarakat biasa dengan perayaan secara terbuka, tahun ini, mereka diminta meraikannya dengan cara tertutup di rumah dengan ahli keluarga.

Katanya, bukan saja Malaysia malah seluruh dunia meraikan Aidilfitri dengan cara berbeza.

“Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetap prosedur operasi standard (SOP) perayaan bahawa jumlah ahli
keluarga tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari, namun tertakluk kepada keluasan ruang rumah.

“Pastikan terdapat penjarakan sosial dan kebersihan diri sentiasa diamalkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas