Berita

PPZ-MAIWP kumpul RM758 juta pungutan zakat tahun lalu

- Diterbit 9 Mac 2021 9:31 AM MYT

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah mengumpulkan wang pungutan zakat sebanyak RM758 juta pada tahun lalu, berbanding RM688 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata peningkatan kutipan sebahagiannya disumbangkan oleh peningkatan pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Pungutan zakat telah meningkat sebanyak 11 peratus dan ini akan membantu MAIWP untuk mempelbagaikan skim bantuannya kepada kumpulan Asnaf,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Bersama Warga Kakitangan Agama di Kompleks Darul Kifayah disini, pada Selasa.

Beliau menjelaskan bahawa MAIWP Labuan telah memainkan peranan proaktif dalam meningkatkan kehidupan masyarakat Islam di pulau bebas cukai ini melalui pelbagai agihan bantuan zakat.

Antara skim tersebut merangkumi bantuan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan Al-Gharimin, bantuan Ibnu Sabil, bantuan perubatan dan bantuan sekolah am.

Bantuan skim lain adalah untuk perkahwinan, persiapan untuk pendidikan tinggi, bantuan kepada badan kebajikan dan untuk aktiviti perniagaan dan pertanian.

“MAIWP akan terus berusaha untuk memastikan kumpulan Asnaf dijaga dengan baik dan hidup dengan selesa,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, Baitulmal-MAIWP Labuan telah memperuntukkan RM20 juta tahun ini untuk pelbagai skim bantuan untuk membantu kumpulan Asnaf di pulau ini.

“Bantuan itu adalah untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan Asnaf yang terkena wabak COVID-19,”katanya. – KHAIRUL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas