Berita

Yadim Sabah sasar santuni 1,000 penghantar makanan

- Diterbit 9 Mac 2021 9:26 AM MYT

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sabah menyasarkan untuk menyantuni dan mengedar bakul makanan kepada kira-kira 1,000 penghantar makanan di seluruh negeri Sabah.

Pengarahnya Samin Ongki berkata, pihaknya telah memulakan program itu di Kota Kinabalu pada bulan lepas dan memilih Sandakan untuk program sama, yang mana setakat ini kira-kira 200 penghantar makanan telah disantuni di dua bandar tersebut.

“Kami akan memilih beberapa lagi kawasan di Sabah untuk program ini di mana ada perkhidmatan penghantaran makanan ini.

“Inilah pendekatan kita untuk mendekati generasi muda dan kita mahu mereka lebih bermotivasi untuk terus dalam usaha niaga mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada program itu di sini hari ini.

Seramai 100 penghantar makanan menerima sumbangan bakul makanan pada program itu yang dirasmikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga.

Mohamad Hamsan berkata, perkhidmatan penghantaran makanan itu wajar dihargai, terutama dalam kalangan penduduk Sandakan.

Menurutnya, kebanyakan penghantar makanan bermotor di daerah ini merupakan golongan belia yang telah berhijrah ke Semenanjung, namun kembali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan.

“Kerajaan menghargai usaha mereka dalam perkhidmatan ini yang sekali gus memberi peluang ekonomi kepada mereka.

“Harapan kita semoga golongan penghantar makanan sentiasa berhati-hati dan orang awam yang mempunyai kenderaan juga perlu berhati-hati di jalan raya, untuk memastikan kesejahteraan hidup kita dapat kita alami bersama,” katanya.

Wakil penghantar makanan FoodPanda Emmanuel Daud berkata, golongan penghantar makanan di Sandakan berbesar hati dengan sumbangan yang diterima daripada Yadim.

Menurutnya, terdapat kira-kira 400 penghantar makanan FoodPanda di Sandakan dan sebilangan kecil sahaja yang menawarkan perkhidmatan itu di Kinabatangan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas