Berita

PPj rai 11 pemenang Pertandingan CAREton@Putrajaya

RAZALI (kiri) dan Hairy bersama hasil produk kitar semula yang berjaya dihasilkan mereka dalam Pertandingan CAREton@Putrajaya: Produk PolyAl 2022.
- Diterbit 23 Disember 2022 4:04 AM MYT

PIHAK Perbadanan Putrajaya (PPj) meraikan 11 pemenang Pertandingan CAREton@Putrajaya daripada peringkat sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), persatuan dan syarikat swasta bertempat di Lobi Blok CD, Kompleks PPj, Presint 3 pada Selasa.

Menurut Naib Presiden Perancangan Bandar PPj, Shamsul Bahrin Rahmat, projek yang bermula pada 20 September hingga 18 November lalu itu dilaksanakan bertujuan untuk mengumpulkan kotak air minuman terpakai Used Beverage Cartons (UBC) untuk diproses kepada bahan binaan mesra alam yang dinamakan sebagai papan poly Aluminium (PolyAl).

“Para peserta dikehendaki menghasilkan perabot berdasarkan kreativiti masing-masing menggunakan minimum 50 peratus bahan UBC yang disediakan. Hasil pertandingan ini telah dinilai dari aspek-aspek seperti konsep, fungsi, kreativiti, estetik, keselamatan, kekukuhan dan peratusan penggunaan UBC,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan CAREton@Putrajaya: Produk PolyAl 2022.

Shamsul berkata penyertaan ini adalah selaras dengan aspirasi PPj dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Hijau Karbon Rendah di bawah fokus keenam bandar hijau iaitu pengurusan sisa pepejal.

“Pertandingan ini dapat meningkatkan lagi kreativiti industri dalam menghasilkan produk kitar semula menggunakan papan PolyAl serta memperkenalkan konsep sirkular ekonomi sebagai pendekatan baru dalam tindakan pengurangan sisa pepejal di Putrajaya.

“Selain itu, ia bertujuan untuk mempromosi aktiviti mengumpul, mengitar semula UBC serta memperkenalkan Program CAREton@Putrajaya kepada komuniti di Putrajaya,” ujarnya melalui pertandingan ini juga dijangkakan dapat mengurangkan lagi jumlah UBC yang dilupuskan di tapak pelupusan.

Dalam pada itu, Shamsul memaklumkan sepanjang tahun 2022, CAREton@Putrajaya telah mempergiatkan lagi usaha pengumpulan UBC dan mempromosi penggunaan papan PolyAl melalui pelaksanaan tiga siri Kempen CAREton@Putrajaya di kawasan perumahan peringkat komuniti dan warga kerja Putrajaya.

“PPj turut mengadakan kempen, pameran dan bengkel khas CAREton@ Putrajaya bersempena Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022. Selain itu, PPj turut menyediakan ruang sampah pukal untuk rumah sampah di blok-blok kuarters Putrajaya,” ujarnya projek tersebut juga akan dikembangkan dari semasa ke semasa daripada skala lebih besar dalam kalangan komuniti, bukan sahaja memanfaatkan alam sekitar malah dapat membantu menjana sumber pendapatan komuniti berteraskan teknologi hijau.

Dalam pada itu, juara Pertandingan CAREton@Putrajaya, Timbalan Pengerusi Persatuan Usahawan Kebun Komuniti KK4, Razali Jamari akui terkejut dan gembira apabila dinobatkan sebagai pemenang.

“Alhamdulillah, usaha-usaha pertanian bandar untuk mengekalkan konsep lestari yang KK4 amalkan sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila menjuarai pertandingan kali ini.

“Walaupun bersaing dengan pihak pemaju, IPT, firma arkitek dan lain-lain organisasi, penyertaan KK4 dalam pertandingan ini adalah manifestasi amalan 5R di mana pembuatan perabot dihasilkan daripada kotak-kotak minuman terbuang,” katanya bentuk meja bulat dipilih melambangkan kesepakatan ahli kebun yang menjunjung pertanian lestari alam.

Razali berkata idea dalam menghasilkan Meja Bulat Jimat Ruang KK4 adalah kerana ingin menjimatkan ruang memandangkan meja yang dihasilkan hanya berukuran diameter 48 inci dengan ketinggian 29 inci.

“Ada antara kita yang tinggal di flat atau apartmen dan mempunyai ruang yang agak terhad. Walaupun begitu, ia tetap boleh dihias menjadi cantik dengan ruangan tertentu mengikut fungsinya,” tambahnya Meja Bulat Jimat Ruang KK4 juga dilengkapi dengan roda bagi memudahkan proses ubah alih kedudukan perabot sama ada di dalam rumah, pejabat atau kebun.

Juara pertandingan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, manakala bagi naib juara RM800, RM500 untuk tempat ketiga, tempat keempat RM400 dan tempat kelima RM350. Pemenang saguhati pula membawa pulang wang tunai RM300. Para pemenang turut menerima trofi, sijil dan hadiah iringan berupa produk kitar semula. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas