Berita

230 peserta tempuh cabaran PLW Explorace 2022

ANTARA gelagat peserta yang berjaya menamatkan cabaran PLW Explorace 2022.
- Diterbit 23 Disember 2022 4:30 AM MYT

SERAMAI 230 orang peserta hadir memeriahkan acara Putrajaya Lake and Wetland (PLW) Explorace 2022 bertempat di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya, barubaru ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, peserta terlibat berentap dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merebut gelaran Lake Warrior 2022.

“Peserta perlu melalui perjalanan sejauh 12 kilometer (km), meliputi kawasan seluas 150 ha dan perlu melaksanakan 14 tugasan bagi melengkapkan cabaran termasuklah aktiviti ‘lake crossing’ di Central Wetland dan cabaran ‘fear factor’ yang bermula seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Reka bentuk tugasan yang disediakan dalam cabaran tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk lebih mengenali spesies burung, ikan, tumbuhan, serangga, meneliti kualiti air dan sebagainya.

“Justeru itu, bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama akan dianugerahkan gelaran Lake Warrior 2022 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 manakala tempat kedua mendapat RM2,000 dan tempat ketiga menerima RM1,000 yang mana masing-masing membawa pulang sijil dan medal. Selain itu, hadiah bagi pasangan lelaki, wanita dan campuran terbaik turut disediakan.

“Lebih menarik, kesemua pemenang turut menerima hadiah iringan daripada penajaan Decathlon. Peserta yang bertuah juga menerima hadiah cabutan bertuah berbentuk barangan dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah melebihi RM5,000,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fadlun menjelaskan program edisi kelapan yang dianjurkan PPj dengan kerjasama UNESCO-IHP Malaysia di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam ini diadakan bertujuan untuk memberi pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam kepada orang awam khususnya generasi muda berhubung Tasik dan Wetland Putrajaya.

“Di samping itu, ia juga dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta mewujudkan ‘sense of belonging’ dalam kalangan peserta bersama-sama dengan PPj dalam menguruskan Tasik dan Wetland Putrajaya,” jelas beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas