Berita

PPj berjaya laksana tiga projek sokong rendah karbon

PUTRAJAYA salah satu bandar pelaksanaan Putrajaya Bikeable City.
- Diterbit 3 Jun 2022 6:12 AM MYT

PELBAGAI inisiatif bertaraf antarabangsa telah dilaksanakan Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai persiapan untuk mencapai Putrajaya Bandar Hijau 2025.

Tiga projek berjaya dilakukan oleh PPj dalam tempoh lima tahun bermula 2017 sehingga 2021 menerusi Projek Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC).

Menurut Naib Presiden Kanan PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud tiga projek tersebut adalah sumbangan lima unit basikal elektrik pada tahun 2019, penyediaan Pelan Tindakan Pengurangan Dan Pengurusan Sisa Pepejal (2020) serta pemasangan kemudahan bike ramp di Jambatan Seri Wawasan dan Seri Saujana (2021).

“Putrajaya merupakan salah satu bandar yang terpilih dalam projek ini khasnya dalam pelaksanaan Putrajaya Bikeable City iaitu inisiatif di bawah Focus Area 3, Putrajaya Green City 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kolaborasi PPj dan GTALCC di bawah inisiatif Putrajaya Bikeable City yang turut menyaksikan kehadiran Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dr Sugumari Shanmugam, Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman, LAr. Abd Aziz Buang dan Naib Presiden Jabatan Perancangan Bandar, Shamsul Bahrin Rahmat.

Menurut Fadlun, GTALCC merupakan projek lima tahun (2017-2021) yang menyokong kepada pelaksanaan inisiatif rendah karbon di bandar-bandar seluruh Malaysia.

“KASA adalah penyelaras projek GTALCC di samping mendapat sokongan daripada agensi antarabangsa seperti United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

“Bagi tahun ini, di bawah Projek Putrajaya Cycling Route (PCR), kolaborasi diteruskan di mana GTALCC telah menyalurkan sejumlah dana tambahan bagi membiayai penyediaan kemudahan untuk empat lokasi iaitu Kompleks PPj Presint 3, Kompleks Futsal Presint 18, Pusat Rekreasi Air Taman Wetland, Presint 13 dan Tangga Putrajaya, Laman Perdana Presint 1.

“Antara komponen yang disediakan adalah peta laluan, tempat pembaikan dan pam basikal, rak basikal dan water dispenser,” tambahnya.

Selain itu, beliau memaklumkan PCR juga merupakan antara inisiatif PPj dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Sukan dan Rekreasi di samping menarik pelancong dalam dan luar negara menggunakan basikal sebagai mode of transport semasa melawat tempat-tempat menarik di Putrajaya.

“PPj akan terus menambah baik kemudahan sedia ada bagi menggalakkan penggunaan basikal selain menjadikan Putrajaya sebagai bikeable city.

Pit stop di Anjung Floria, Presint 4 telah dipilih sebagai pit stop utama bagi permulaan dan penamat bagi setiap pilihan penunggang basikal memandangkan lokasinya yang strategik sebagai penghubung laluan basikal di samping pelbagai kemudahan sokongan sedia ada seperti tempat letak kereta yang luas, kafe dan tandas awam.

“Dengan adanya pelbagai fasiliti dan aktiviti di Pit Stop @ Anjung Floria, ianya dapat menarik ramai lagi pengunjung untuk datang ke Putrajaya bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah santai rekreasi secara individu atau bersama keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas