Artikel

Jennedy enggan mengalah demi pelajar

MURID SK Pulau Gaya, Kota Kinabalu menaiki bot untuk pergi ke sekolah.
- Diterbit 3 Jun 2022 6:24 AM MYT

CABARAN demi cabaran dihadapi oleh warga pendidik khususnya yang mengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman terutama ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) beralih ke proses pembelajaran secara atas talian (online) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bukan hanya pelajar malah guru juga menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dalam memastikan sesi PdP berjalan lancar terutama mereka yang menetap di kawasan pulau dan ladang yang sememangnya tidak mempunyai capaian internet yang efisien selain kekangan kemudahan teknologi seperti komputer, telefon pintar atau peranti mudah alih lain yang membantu memudahkan proses penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar.

Berkongsi dengan Wilayahku, Guru Cemerlang Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, Kota Marudu, Jennedy Pungawon mengimbas kembali detik dirinya hampir pernah ditahan polis kerana memarkir kenderaannya di bahu jalan untuk mencari kawasan yang mempunyai liputan internet lancar demi memastikan pelajar dapat mengikuti PdPR.

“Saya terpaksa memandu jauh sehingga ke pekan dengan jarak kira-kira 20 kilometer (km) dari rumah untuk mencari kawasan yang mempunyai akses internet.

“Setiap kali berada dalam kenderaan untuk melaksanakan PdPR di bahu jalan, pasti ada polis peronda yang datang menghampiri kereta dan mengarahkan saya untuk pulang berikutan prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

“Dan setiap kali itulah saya perlu menunjukkan surat kebenaran yang ditandatangani oleh pengetua sekolah. Cabaran saya tidak berakhir di situ kerana kebanyakan daripada pelajar saya turut menghadapi masalah yang sama.

“Kasihan kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai masalah capaian internet yang sangat lemah dan ada juga yang tidak mempunyai liputan internet di rumah mereka. Namun, saya tidak akan mengalah demi masa hadapan pelajar,” katanya dalam satu sesi ‘Cerita Pedagogi Zon Sukar’ sempena Program Outreach Pedagogi Sukar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, baru-baru ini.

Baginya, kesukaran yang dialami turut dirasai oleh pelajar-pelajarnya. Justeru itu, Jennedy memberi masa selama seminggu kepada mereka (pelajar) untuk menyiapkan tugasan tersebut dan turut meminta pertolongan pelajar lain dalam kumpulan WhatsApp kelas untuk memaklumkan tugasan sekolah kepada rakan yang tinggal berhampiran, tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau tidak dapat mengakses internet.

Setiap pendidik mahu pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan dalam apa jua yang diceburi. Kebimbangannya masih tertumpu kepada pelajar luar bandar dan pedalaman yang sukar mendapat capaian internet selain terpaksa berkongsi peranti elektronik dengan adik-beradik lain bagi mengikuti PdPR.

Sebagai guru, Jennedy prihatin dan empati terhadap keadaan pelajarnya yang terpaksa menyesuaikan diri dengan norma pembelajaran baharu dan tidak menentu selama dua tahun.

Jelaslah, kesungguhan pendidik cemerlang ini menjadikan segala cabaran yang ditempuhi itu sebagai titik tolak bagi dirinya untuk lebih bersemangat mencurahkan ilmu kepada pelajar hingga berjaya serta menjadi kreatif dan inovatif dalam menggarap teknik PdP bagi memastikan pelajarnya memahami konsep subjek itu meskipun hanya berkomunikasi secara dalam talian.

REDAH SUNGAI DEMI TUGAS

PENGALAMAN tidak disangka. Itulah kata-kata diungkapkan oleh Jennedy ketika menyertai Program Outreach Pedagogi Sukar di Kota Kinabalu dan Tuaran bersama sekumpulan 12 pensyarah cemerlang daripada Majlis Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program itu turut berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pukak dan SK Kauluan serta SK Pulau Gaya di perairan Kota Kinabalu.

Dalam program tersebut, seramai 12 orang pensyarah cemerlang menaiki bas IPG Kampus Kent yang melalui kawasan bukit-bukau yang berkabus, sesekali melalui cerun curam, selekoh tajam dan tanah runtuh yang menyebabkan jalan sempit dan perlu berhati-hati bagi mengelak kenderaan terjatuh dalam gaung.

Sepanjang perjalanan sejauh 15 kilometer dari Pekan Kiulu ke Kampung Pukak kelihatan Sungai Kiulu yang merupakan sebuah kawasan yang amat popular dalam kalangan pelancong yang gemarkan aktiviti lasak terutama jeram berbatu.

ANTARA guru dan pensyarah yang terlibat dalam Program Outreach Pedagogi Sukar di IPGKIK di SK Pukak, Tuaran.
PENSYARAH IPGKIK bersama murid SK Pulau Gaya, Kota Kinabalu di Jeti Pulau Gaya.

“Panaroma indah di persekitaran menjadi sumber pembelajaran paling bermakna untuk mengatasi kesukaran penyampaian pedagogi di SK Pukak termasuk peralatanperalatan berbantu seperti penggunaan sumber alam semula jadi yang menjadi kegunaan atau pilihan guru untuk menyampaikan dan menerangkan sesuatu perkara ketika mengajar.

“Di SK Kauluan pula, terserlah kreativiti guru dan murid menggunakan tayar, botol dan kerusi terbuang untuk dijadikan landskap antaranya berbentuk cawan dan teko selain dijadikan pasu serta pagar tanaman dengan gubahan landskap menarik.

“Aktiviti lain, kita juga menggunakan mesin basuh terpakai untuk diubah suai menjadi sinki bagi kegunaan warga sekolah. Botol air plastik pula dicat sebelum digubah menjadi dekorasi sekolah serta pagar hiasan tanaman,” kongsinya.

Menjelaskan mengenai tujuan program itu dilaksanakan, ia adalah satu proses mengumpul idea, kaedah dan teknik PdP bagi membantu pendidik yang berhadapan dengan pedagogi berhalangan.

Turut menjalinkan kerjasama pintar dalam menjayakan program bermanfaat itu ialah IPG Kampus Kent dan IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu. Ketiga-tiga IPG itu juga memeterai nota kerjasama di IPG Kampus Kent. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas