Berita

Polis serbu pusat hiburan beroperasi semasa PKPB

PENGUNJUNG pusat hiburan di Jalan Cheras diperiksa sebelum dikompaun RM1,000.
- Diterbit 18 Disember 2020 9:04 AM MYT

SEBUAH pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Off Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur diserbu polis selepas didapati beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Dalam serbuan pada pukul 9.45 malam itu, polis turut menahan tiga individu yang berumur antara 25 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, seorang daripada bekerja sebagai pengurus dan penjaga premis manakala dua lagi adalah pengunjung bukan warganegara iaitu dari China dan Vietnam.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati seramai 73 pengunjung tempatan hadir di premis tersebut. Mereka terdiri daripada 56 lelaki dan 17 wanita yang berusia 21 hingga 47 tahun.

“Kesemua mereka dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 iaitu terlibat dalam aktiviti terlarang yang dinyatakan seperti dalam jadual akta yang sama,” katanya.

Tambah beliau, pengurus dan penjaga premis turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 manakala pengunjung bukan warganegara disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut mengarahkan supaya pemilik premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB kerana tindakan kompaun akan dikenakan kepada sesiapa yang melanggarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas