Berita

Pegawai MSWP cabar SUA KWP ‘sparring’ dengan atlet karate

- Diterbit 18 Disember 2020 11:30 AM MYT

SIAPA SANGKA di sebalik pakaian formal hampir setiap hari atas tuntutan tugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz menunjukkan satu sisi lainnya ketika membuat lawatan ke Kem Latihan Atlet Wilayah di Hotel Royale Chulan Jalan Conlay baru-baru ini.

Ketika lawatan tersebut, beliau yang berkemeja dan seluar slack dicabar ‘sparring’ oleh seorang pegawai Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) untuk berlawan dengan salah seorang atlet yang berlatih di situ.

“Ada pegawai MSWP yang sengaja mempelawa supaya saya berlawan dengan salah seorang karateka kerana dia tahu saya pernah menyertai pertandingan semasa muda dahulu.

“Ketika dahulu, saya pernah menjadi National Champion Goshin-Ryu dan National Junior Champion Goshin-Ryu selain pernah memenangi pertandingan antarabangsa Budokan International Karate,” katanya kepada Wilayahku pada Jumaat.

Tun Faisal memberitahu, beliau mula berjinak-jinak dalam seni pertahanan diri karate ketika menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah semasa berada di tingkatan empat.

“Saya pilih kerana mahu pertahankan diri dan elak menjadi mangsa buli disebabkan saiz badan yang kecil selain mahu membela mereka yg dibuli.

“Cuma apabila sudah belajar, saya rasa perlu lebih sabar kerana seni bela diri boleh mencederakan orang lain, jadi saya fokus hanya untuk bersukan dan belajar mengenai seninya,” katanya.

Tun Faisal berkata, sebagai seorang yang bersukan, beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap semua atlet Wilayah Persekutuan untuk fokus dalam latihan dan menetapkan matlamat untuk menjadi johan dalam kejohanan itu nanti.

“Sudah tentu kita mahukan kejuaraan. Saya berharap semua atlet sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan menetapkan matlamat untuk berjaya.

“Dalam masa sama, mereka perlu menjaga kesihatan mental, fizikal dan emosi agar atlet Wilayah Persekutuan tampil menunjukkan persembahan yang mantap disamping semangat juang yang tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas