Berita

Polis menahan 27 suspek sindiket penyelewangan minyak diesel Petronas

- Diterbit 10 Januari 2024 12:51 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 27 individu membabitkan sindiket penyelewengan minyak diesel Petronas dalam dua siri operasi Khas pada Julai dan Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kejadian didapati berlaku sejak tahun 2021 dan dianggarkan kerugian adalah sebanyak RM12 juta.

Tambah beliau, aktiviti penyelewengan itu juga giat dilakukan di pantai timur melibatkan pembekalan kepada kapal-kapal marin yang beroperasi dengan Petronas.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan cara memindahkan dan menjual minyak diesel dari kapal yang dikesan melalui rekod Vessel Fuel Monitoring System (VFMS) yang terdapat pada kapal.

“Siasatan JSJK dibuat sebagai susulan daripada hasil pemerhatian awal oleh pihak siasatan dalaman Petronas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ramli, kesemua suspek yang ditahan adalah daripada pelbagai sektor perkapalan termasuk anak kapal.

“Pihak polis telah berjaya mendakwa dua orang lelaki warga tempatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan sebanyak tiga pertuduhan dan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan sebanyak satu pertuduhan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas