Berita

Forum Perdana Ehwal Islam Diraja di Istana Negara esok

- Diterbit 10 Januari 2024 12:45 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Istana Negara menganjurkan program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja bertajuk “Institusi Diraja Penyatuan Ummah” di Istana Negara esok.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberi perkenan berangkat ke program itu.

Forum berkenaan akan menampilkan Ustaz Zakaria Othman daripada Jakim sebagai moderator bersama tiga panel iaitu Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alaudin, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashi dan Pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Hakimah berkata forum itu bertujuan meningkatkan dan menyuburkan kefahaman segenap lapisan masyarakat bahawa institusi diraja ialah simbol menyatukan ummah dalam kalangan komuniti yang berbeza dan pelbagai di bawah frasa kesetiaan dan ketaatan secara bersama kepada raja dan negara.

Forum akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM saluran TV1 pukul 9 malam selama sejam 30 minit. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas