Berita

PMVSB beri kerjasama penuh siasatan insiden ceroboh Merdeka 118

- Diterbit 29 Disember 2022 6:09 AM MYT

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung tindakan pasangan yang memanjat ke puncak menara Merdeka 118.

PMVSB dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja pembinaan menara itu masih berjalan dan keselamatan menjadi keutamaan mereka.

“Siasatan sedang dijalankan. Sebagai milik persendirian, sebarang pencerobohan tertakluk di bawah peraturan dan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan akhbar semalam, polis memaklumkan akan menjalankan siasatan terhadap pasangan berkenaan yang dipercayai menceroboh bagi memanjat menara itu dan kedua-duanya akan dipanggil untuk direkodkan keterangan.

Seorang daripada pasangan itu berkongsi gambar dalam laman web pada 26 Dis lepas memaparkan mereka berada di puncak menara Merdeka 118, yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia, sebelum ia tular menerusi media sosial dan beberapa platform lain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas