Berita

PM seru teruskan tekad jadi Masyarakat Unggul

- Diterbit 8 Februari 2024 12:02 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk meneruskan tekad menjadi masyarakat yang unggul dan Madani.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina, Anwar berkata sempena Tahun Naga, menurut kalendar Cina membawa maksud kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan.

“Justeru, bagi membangkitkan semangat prinsip-prinsip universal tersebut, kita sebagai rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.

“Di pihak Kerajaan, kerja kita akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya.

“Ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, kebejatan (kerosakan) mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina.

“Semoga perayaan tahun baharu pada tahun ini membawa kebahagiaan yang melimpah dan rezeki yang bertambah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas