Berita

PM beri kepercayaan tinggi kepada perkhidmatan awam

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 Disember 2023 4:20 AM MYT

PENTADBIRAN Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kepercayaan tinggi kepada perkhidmatan awam dalam melaksanakan agenda pembangunan negara, serta meletakkan Malaysia di landasan tepat menuju ke arah negara maju.

Begitu pandangan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang juga melihat penekanan dan penegasan Perdana Menteri mengenai keperluan kerajaan dan perkhidmatan awam memiliki tatakelola pentadbiran yang amanah dan berintegriti.

“Perdana Menteri kata kita (penjawat awam) kena bina semula negara, yang pada satu ketika dahulu berada di tahap baik. Kita pulihkan ekonomi dan kita mampu jana pendapatan lebih tinggi kepada negara,” katanya dalam satu wawancara bersama media.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri itu membuatkan penjawat awam selesa menjalankan tugas, dan Anwar juga memberi perhatian soal kebajikan penjawat awam termasuk pelaksanaan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Kita bekerja satu sinergi, apabila Perdana Menteri iaitu orang nombor satu percaya keupayaan kita, penjawat awam kita selesa jalankan tugas. Apa jua pandangan penjawat awam akan dihargai dan diminta pandangan.

“Paling mustahak ialah dia (Anwar), minta penglibatan seluruh penjawat awam untuk sama-sama berganding bahu untuk gerakkan dan bangunkan negara ini. Insya-Allah, perkara utama untuk diberikan kebajikan penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, gaji dan elaun,” katanya.

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember 2022.

Menerusi kajian kepuasan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Mohd Zuki berkata penjawat awam berpendapat kerajaan berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Dapatan kajian keseluruhannya secara purata puas hati (dengan kerajaan), yang kritikal ialah kebajikan (penjawat awam) itu tidak ditinggalkan. Harap terjemahkan sikap keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam, dibalas balik dengan perkhidmatan terbaik digagaskan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Zuki berkata populariti dan profil tinggi Anwar di luar negara, memudahkan urusan mempromosikan Malaysia serta kemasukan pelabur asing ke dalam negara.

“Saya bercakap dengan pegawai di Kementerian Luar, mereka cakap Perdana Menteri mempromosikan sendiri negara. Perdana Menteri sendiri ada pencapaian tinggi di peringkat antarabangsa, nampaknya tugas pegawai Kementerian Luar lebih mudah. Kita hanya ‘follow through’ apa yang beliau telah laksanakan,” katanya.

Mengenai penerapan nilai MADANI dalam perkhidmatan awam, Mohd Zuki berkata Perdana Menteri amat menitikkan budaya kerja berasaskan nilai MADANI, yang memfokuskan usaha membina masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian serta pembangunan.

Pada 19 Januari, Anwar memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Perdana Menteri gagaskan MADANI dan saya bawa ‘The G.R.E.A.T Civil Service‘ merujuk kepada ‘Good governance‘ (tadbir urus baik), ‘Responsibility‘ (bertanggungjawab), ‘Empathy‘ (ihsan), ‘Accountability‘ (kebertanggungjawaban) dan ‘Tenacity of purpose‘ (fokus pada matlamat). Visi saya bawa lebih kepada bertujuan menyokong nilai MADANI untuk kita laksanakan dalam konteks perkhidmatan awam,” kata Mohd Zuki.

Menyingkap setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu, Mohd Zuki memuji usaha Perdana Menteri yang memberi penekanan isu-isu fundamental seperti tandas sekolah, klinik daif serta perkara asas rakyat lain.

“Bagi Perdana Menteri, (isu tandas sekolah) merupakan perkara asas dan kalau tandas tidak boleh dijaga, macam mana nak beri keselesaan kepada murid dan macam mana ingin dapatkan pendidikan sempurna, itu sebab beliau beri penekanan.

“Perdana Menteri juga tekankan tidak kisah jika beliau tidak dikenali sebagai Perdana Menteri yang tidak bina gedung tinggi, tetapi fokusnya isu di bawah, contohnya gerai sempurna sebab Malaysia bukan dinikmati hanya orang kaya tetapi seluruh rakyat Malaysia. Itu keutamaan dia,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri amat menekankan pelaksanaan dasar atau projek pembangunan yang cepat, namun aspek tatakelola perlu dipatuhi tanpa kompromi.

Mohd Zuki berkata Perdana Menteri begitu menekankan inisiatif kebajikan rakyat seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2024.

“Tiada rakyat ditinggalkan dengan perbelanjaan peruntukan besar dan isu keprihatinan dan kebajikan rakyat diberi perhatian,” katanya.

Mohd Zuki berkata Anwar turut menekankan perbelanjaan berhemah bagi mengelak pembaziran dan mendapatkan penjimatan dalam pentadbiran kerajaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas