Berita

Tiada perunding luar digunakan dalam perkhidmatan awam

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 Disember 2023 4:20 AM MYT

KHIDMAT perunding luar tidak akan digunakan dalam perkhidmatan awam kecuali dalam keadaan kepakaran tertentu tidak dimiliki, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata ia sejajar dengan kepercayaan tinggi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan terhadap keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan projek dan agenda pembangunan, daripada bergantung kepada khidmat perunding luar.

“Sebab itu Perdana Menteri selalu sebut dulu di peringkat awal kita sering kali melantik perunding untuk menjalankan tugas (tetapi) beliau selalu berkata, tidak, tidak, tidak.

“Kamu semua (penjawat awam) ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan, jadi diberikan kita (penjawat awam) peranan untuk membangunkan negara,” katanya dalam wawancara sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Zuki berkata pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang melibatkan kumpulan penjawat awam sepenuhnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan kerana perunding luar dibayar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit terutamanya jika melibatkan perunding dari luar negara.

Sekarang ini, kata beliau, kerja-kerja rundingan membabitkan projek pembangunan dilakukan sepenuhnya oleh penjawat awam termasuk membuat rangka tindakan, yang membuktikan kumpulan penjawat awam berkeupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Beliau berkata menggunakan khidmat perunding dalaman juga dapat mempercepatkan pelaksanaan projek dengan kerjasama penjawat awam rentas kementerian yang akan bekerja sebagai satu pasukan.

“Contohnya projek sekolah daif di SK (Sekolah Kebangsaan) Bandar Baru Bangi yang berjaya disiapkan dalam tempoh 22 hari sahaja berbanding jangkaan awal mungkin mengambil masa hampir setahun.

“Dulu kalau nak bina sekolah-sekolah ini kena lantik perunding luar bagi khidmat arkitek, jurutera, juruukur bahan dan sebagainya, tetapi sekarang semua kita buat dalaman, ada pegawai teknikal iaitu seperti pasukan perunding dari Jabatan Kerja Raya sendiri, ” katanya.

Ini kerana pelbagai prosedur yang menjadi kekangan contohnya seperti proses perolehan bagi projek menaik taraf sekolah daif mengambil masa lama sehingga tiga bulan, sedangkan sekolah tersebut perlu diperbaiki dengan cepat, kata beliau.

Mohd Zuki berkata penjawat awam seharusnya bersedia untuk menjalani latihan untuk menimba pengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan dalam projek pembangunan tersebut.

Menurutnya, Perdana Menteri amat menggalakkan penjawat awam mengikuti kursus-kursus bersifat jangka sederhana di syarikat konglomerat yang besar dan berjaya seperti menerusi Program Penempatan Silang.

“Sudah ada yang dihantar ke Petronas, dan beliau (Anwar) meminta lebih ramai lagi (dihantar)… kalau boleh peringkat kedua. Makanya, pelapis-pelapis yang akan menjadi ketua di masa akan datang lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab. Kita kena buktikan dengan memberikan perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zuki berkata penggunaan khidmat kepakaran dalaman juga merupakan satu langkah untuk mengelakkan pertindihan kerja antara perunding luar dengan kakitangan dalam projek-projek yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

Mohd Zuki berkata menerusi inisiatif Bitara MADANI yang menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikannya juga bertindak mempercepatkan pelaksanaan projek penyelenggaraan kecil berkepentingan rakyat.

“Untuk pelaksanaan sesebuah projek contohnya kita perlu rujuk 10 agensi, jadi kenapa kita tidak wujudkan pusat sehenti? Jadi di sini STAR sebagai pemudah cara, semua agensi berkaitan bekerja sebagai satu pasukan, ia akan mempercepatkan (pelaksanaan),” katanya.

Beliau berkata kerjasama rentas kementerian merupakan satu manifestasi kejayaan STAR tanpa menggunakan khidmat perunding dalam pembangunan negara.

Ditanya mengenai perancangan pada tahun hadapan, beliau berkata Perdana Menteri akan memfokuskan terhadap perihal seperti penyelenggaraan lif, penyediaan gerai bagi membantu komuniti setempat menjalankan perniagaan, serta menyediakan lebih banyak kemudahan kuarters untuk penjawat awam, dan tandas yang bersih di sekolah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas