Berita

Petugas media ke Sukan Olimpik Tokyo terima suntikan vaksin hari ini

38 pengamal media sukan yang terlibat dijadualkan menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini dan janji temu dos kedua akan diaturkan sebelum mereka berlepas. Kredit foto oleh: Astro Awani 38 pengamal media sukan yang terlibat dijadualkan menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini dan janji temu dos kedua akan diaturkan sebelum mereka berlepas. Kredit foto oleh: Astro Awani
- Diterbit 14 Jun 2021 7:18 AM MYT

PETUGAS media yang terlibat membuat liputan Sukan Olimpik di Tokyo menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula hari ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata 38 pengamal media sukan yang terlibat dijadualkan menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

“Bagi petugas media yang telah mendapat suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini, Khairy berkata sebanyak 700 janji temu telah diberikan kepada petugas media di seluruh negara untuk dos pertama vaksinasi COVID-19 dan lebih banyak janji temu dikeluarkan dalam minggu ini.

“CITF perlu mengimbangi keperluan vaksinasi buat rakan-rakan media kita, dengan keperluan imunisasi untuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan komorbid yang turut diutamakan dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

Rabu lepas, seramai 98 pengamal media mula menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19  di Dewan Seroja di Putrajaya, diikuti 123 petugas media di Perak yang juga menerima suntikan dos pertama mereka dua hari kemudian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas