Berita

Pertanian presisi bantu gelandangan

PENGHUNI Anjung Kelana mengusahakan pertanian bandar di bekas tapak Desa
- Diterbit 23 April 2021 3:51 AM MYT

SEPERTIMANA konsep pelaksanaan Program Ramadan Prihatin yang sedang dijalankan kerajaan, kumpulan hijrah warrior atau gelandangan yang berusaha mengubah diri, terus dibantu dalam segenap aspek. Selepas fasa pertama iaitu berkonsepkan ‘makan gaji’,Kementerian Wilayah Persekutuan(KWP)
mewujudkan pertanian bandar untuk diusahakan golongan berkenaan.

Justeru, melihatkan transformasi positif yang berlaku, Menteri
Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengumumkan inisiatif baharu
bagi memperkasakan kelompok sasar terlibat supaya terus menjadi usahawan tani berjaya.

Menurut Annuar, kementeriannya akan mewujudkan pertanian presisi (precision farming) berskala
besar menggunakan teknologi moden seperti fertigasi dan hidroponik di dalam sebuah bangunan di
Putrajaya, tahun ini.Beliau berkata, pada masa ini,pihaknya sudah mendapatkan kelulusan bangunan
daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi melaksanakan pelaburan bernilai jutaan ringgit itu.

Ujar beliau, pengusaha (syarikat)bagi kaedah baharu itu juga sudah diperoleh dan pihaknya sedang meneliti kaedah untuk pelaksanaannya secara besar-besaran.“Kebun bandar adalah model percubaan,ia tidak mudah tetapi kita cuba.

Jadi kita kena tambah baik model ini dan jadikannya secara komersial kerana terdapat
pelbagai kaedah pelaksanaan.“Barangkali secara fertigasi atau hidroponik lebih sesuai dan
kita mahu buat pada skala komersial. Ia akan dilakukan di dalam sebuah bangunan dan terbesar di
Malaysia,” katanya selepas mengedarkan sumbangan kepada hijrah warrior sempena Ramadan Prihatin
di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana pada Isnin.

Mengulas lanjut berkenaan pertanian presisi yang direncanakan
itu, Annuar berkata, kaedah tersebut akan menjadi program terbesar
di Malaysia.

PELUANG KERJAYA HIJRAH WARRIOR DALAM PERTANIAN

Dalam pada itu Annuar turut memaklumkan, tawaran pekerjaan bagi konsep pertanian baharu
itu akan mengutamakan golongan gelandangan berbanding pekerja asing.Tegas beliau, langkah itu
membolehkan mereka mendapatkan pendapatan harian di samping mengekang daripada terjerumus
semula dalam kehidupan jalanan.

“Daripada ambil pekerja asing lebih baik ambil gelandangan.
Tetapi yang melabur itu kena usahawan,” ujar beliau. -NAZWIN NAZRI-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas