Berita

Perpaduan di Malaysia boleh disemai melalui pemahaman budaya

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 21 Januari 2024 1:00 PM MYT

KEPELBAGAIAN budaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia boleh dijadikan sebagai pendorong dalam usaha menyemarakkan lagi tahap perpaduan antara kaum.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata tahap perpaduan negara adalah memuaskan tetapi ia masih boleh dimantapkan lagi dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap sesuatu budaya dan kaum.

“Masih ada ruang untuk dibaiki dan ditingkatkan lagi supaya kita (Malaysia) boleh jadi satu negara contoh di rantau ini dan juga di dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan Persatuan Integrasi Koordinasi India Malaysia (Incott) 2024 di sini hari ini.

Sambutan yang berlangsung di Sungai Buloh itu turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa selain dimeriahkan lagi dengan kehadiran penduduk setempat yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum dan budaya.

Dalam pada itu, Saraswathy berkata Ponggal yang disambut di seluruh negara melihatkan penyertaan setiap kaum dan perkara sama perlu diteruskan untuk sambutan perayaan kaum lain.

“Ini menunjukkan bukti bahawa perpaduan negara ktia adalah mesra dan boleh diperbaik, jadi sambutan seperti ini boleh memberi peluang kepada semua masyarakat majmuk untuk faham budaya.

“(Ia) akan memberi suatu keadaan harmoni dalam kalangan rakyat apabila mereka mempunyai pemahaman yang sebenar berkenaan budaya sesuatu etnik di Malaysia,” katanya.

Presiden Incott Suresh Kumar yang juga penganjur sambutan pesta Ponggal itu turut meluahkan rasa terharu apabila menerima sambutan luar biasa terutamanya daripada kaum Cina dan Melayu di kawasan itu untuk sama-sama meraikan sambutan berkenaan.

“Ini menunjukkan keharmonian yang kekal dan tidak dapat diganggu oleh mana-mana pihak … jadi, kami (Incott) akan sentiasa ambil usaha sebegini untuk pupuk kesejahteraan dan keamanan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas