Selebriti

Pernah stres, dekati Allah buat Faizal Ismail tenang

|
- Diterbit 13 Julai 2021 10:46 PM MYT

SELEBRITI popular Faizal Ismail,45, mengaku sebelum ini dirinya terlalu sibuk dengan urusan dunia selama 15 tahun pembabitannya dalam bidang penyiaran radio.

Menyedari kekurangan hubungannya dengan Allah, Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ismail mula menyertai jemaah tabligh sejak tahun lalu.

Menurut Faizal, penghijrahan ini adalah langkah awal dia menjaga hubungan dengan Allah SWT.

“Sejujurnya, menyertai jemaah tabligh adalah titik mula saya membuat penghijrahan atau perubahan dalam dalam diri.

“Kalau dulu kita lari tengok tabligh sebab takut diajak ke masjid. Tidak menjangka ketika di United Kingdom rumah saya diketuk dua jemaah tabligh dari Malaysia. Dari situ saya berfikir sejauh ini mereka nak mengajak ke arah kebaikan.

“Dalam agama kita, lelaki dituntut untuk solat berjemaah di masjid. Selama ini mungkin saya tidak ambil berat soal ini. Jadi, hubungan saya dengan Allah jauh.

“Pulang saja ke Malaysia, ini perkara saya fikir. Dalam masa sama ketika itu saya sudah berbulan-bulan mengalami masalah kesukaran tidur. Sampai satu tahap nak menjadi satu tekanan dan berasa kecewa.

“Saya rujuk pada kenalan ustaz dan mereka sarankan saya untuk cuba perbaiki dulu hubungan dengan Allah. Alhamdulillah, saya pandang apa yang berlaku dalam diri saya ini adalah ketentuan Allah SWT,” katanya yang ditemui pada sidang media virtual program Aidiladha TV Alhijrah, baru-baru ini.

Menurut Faizal, pada awalnya dia lebih selesa untuk tidak berkongsi pembabitannya dengan jemaah tabligh kerana disifatkannya sebagai soal peribadi.

“Saya pulang ke tanah air pada Julai tahun lalu. Pertama kali menyertai jemaah tabligh pada November tahun lalu. Saya terbabit dalam diam saja dan memang tidak mahu hebohkan. Alhamdulillah, sehingga sekarang sudah banyak kali terbabit.

“Saya menyertai tabligh di sekitar tempat tinggal saya di kampung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Lagi pula sekarang ini saya menetap di Pulau Pinang sebab menjaga mak selepas kematian bapa. Memandangkan saya anak sulung lelaki, ia menjadi tanggungjawab saya. Kalau ke Kuala Lumpur pun atas urusan kerja,” jelasnya lagi.

Terdahulu Faizal juga bekas penyampai radio Hot FM menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif di peringkat Sarjana di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK), pada Ogos 2019.

Penularan wabak Covid-19 di sana memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pemebelajaran diteruskan secara dalam talian. Sejak itu, Faizal mengambil keputusan pulang ke tanah air.

 

Bersama TV AlHijrah pengalaman baharu

Berkongsi lanjut, Faizal yang mesra disapa FBI membuat kemunculan semula di kaca TV apabila mengacarakan program La Tahzan bersama Abby Fana yang bersiaran di TV AlHijrah.

“Saya pun tak pernah terfikir akan muncul dalam sebuah televisyen yang berkonsepkan agama. Bagi saya ini semua adalah ketentuan Allah.

“Setelah saya diuji dalam kehidupan, saya perlukan penghijrahan. Penghijrahan itu bukanlah bermaksud dari pengacara hiburan kepada konsep sekarang.

“Saya tak pernah minta untuk ke TV AlHijrah, tapi saya minta dengan Allah supaya tentukan perjalanan hidup saya lebih baik selepas ini,” katanya yang lebih selesa mengacarakan program berkaitan agama dan tanggungjawab sosial.

“Mungkin ramai tak tahu, selama ini saya menyepikan diri kerana itu adalah masa untuk saya untuk memperbaiki hubungan saya dengan Yang Maha Pencipta. Itu yang saya buat sepanjang saya senyap.

“Apabila saya ditawarkan program hiburan, bidang itu tidak salah, cuma hati saya rasa dah tak nak buat. Saya nak buat sesuatu yang baharu dan berlandaskan agama.

“Allah Maha berkuasa, Dia beri Jawapan kepada saya apabila wakil TV AlHijrah menjemput saya mengacarakan sebuah program di stesen televisyen itu,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas