Selebriti

Neon Band tumpang populariti lagu Aku Budak Girl?

|NEON Band kini popular dengan lagu Aku Budak Boy
- Diterbit 14 Julai 2021 10:29 PM MYT

KUMPULAN Neon Band baru sahaja muncul dengan lagu Aku Budak Boy yang diinspirasikan daripada lagu Aku Budak Girl nyanyian Suekhaizhar.

Ramai yang memuji lagu Aku Budak Boy yang telah diberi nafas baharu. Namun, tidak kurang juga yang mempertikaikan tindakan Neon Band yang dikatakan cuba menumpang populariti lagu Aku Budak Girl.

Menurut vokalis Neon Band, Boy, mengakui masing-masing akan mendapat ‘keuntungan’ dan kelebihan.

“Bagi saya dalam bidang muzik kena bijak untuk buat keputusan. Sebagai contoh, kalau kami keluar lagu lain ketika saya pula masih baru pasti lebih sukar untuk mendapat tempat.

“Jadi, apa boleh dikatakan kami memang menumpang populariti lagu yang viral ini, tapi secara positif.

“Kami membawakan lagu ini dengan versi tersendiri yang memberikannya nafas baharu. Kalau lagu asal orang kecam, saya yakin untuk versi Aku Budak Boy ini orang akan suka. Malah, tanggapan mereka terhadap lagu ini pasti berubah.

”Sebenarnya kami nak bagi orang dengar kekuatan lagu ini. Secara tidak langsung, menerusi lagu Aku Budak Boy, lebih ramai orang lagi akan mendengar lagu Aku Budak Girl.

“Ramai cakap lagu ini mudah, tapi tak sebenarnya. Kami ambil masa dua hari untuk siapkan proses rakaman lagu ini,” kata Boy atau nama sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir,33.

Selain Boy, Neon Band turut dianggotai oleh Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).

Sebelum ini, antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band adalah Cinta Yang Telah Mati, Hingga Akhir Nanti, Kaca dan Jiwa.

NEON Band kini popular dengan lagu Aku Budak Boy

Menurut Boy lagi, lagu terbaharu Neon Band sepatutnya sudah dilancarkan namun ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Macam dikatakan, single pertama Neon Band bersama saya sebagai vokalis baru sepatutnya dilancarkan selepas sambutan hari raya lalu. Tapi, disebabkan PKP 3.0, kami tidak sempat buat video muzik. Itulah yang membuatkan kami terpaksa tangguh dulu pelancaran single terebut.

“Jadi, pihak pengurusan Nova Music nak ketengahkan lagu Aku Budak Boy ini sebagai single pertama kami. Lagi pun Neon Band sudah lama tak keluar lagu baru. Jadi, nak gunakan fenomena lagu asal ini untuk kemunculan semula kami dan dalam masa sama memperkenalkan saya selaku vokalis baharu Neon Band.

“Kiranya, single Aku Budak Boy yang baru dilancarkan ini sangat berbeza dengan muzik Neon Band yang dikeluarkan sebelum ini.

“Malah, lagu baharu yang ditangguhkan itu pun tidak sama. Dalam erti kata lain, lagu Aku Budak Boy ini memberi nafas baharu kepada muzik Neon Band sekali gus mampu menarik lebih ramai pendengar muzik tempatan. Harapnya, peminat boleh terima ‘wajah’ baharu Neon Band ini,” katanya.

Menariknya, Boy berkata lagu Aku Budak Boy itu adalah balasan kepada lagu Aku Budak Girl yang mana liriknya lebih berunsur positif dengan memberi semangat kepada ‘Girl’ dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.

“Lirik asal lagu ini ada bahagian yang ditukar. Seperti semua tahu, lagu asal ini terkenal dan tular, tapi banyak juga dikecam dan dikeji.

“Jadi, lirik lagu Aku Budak Boy ini adalah balas balik kepada lirik lagu Aku Budak Girl yang memberi semangat pada ‘Girl’ dan penyanyi itu. Orang kata, semangat Boy pada Girl,” jelasnya lagi.

Lagu Aku Budak Boy terbitan Nova Music telah dilancarkan hari Jumaat lalu dan kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik. Video muzik lagu ‘Aku Budak Boy’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas