Selebriti

Pernah ditipu ratusan ribu… Ben Ali, Nadiyah bangkit

Ben Ali dan Nadiyah Shahab menganjurkan festival raya demi membantu para usahawan di luar sana.|MAJLIS perasmian festival raya terbesar Absolut Bazaaar X Gaya Raya yang bakal berlangsung di MiTEC||NADIYAH dan Ben berharap festival raya yang dianjurkan memberi manfaat kepada para usahawan yang terlibat.
- Diterbit 15 Februari 2022 9:57 AM MYT

BUKAN mudah untuk berjaya dalam bisnes. Pelbagai cabaran yang dilalui pasangan selebriti Ben Ali dan Nadiyah Shahab dalam memajukan bisnes makanan Absolut Chocolat.

Sebelum ini, mereka pernah kerugian sebanyak ratusan ribu apabila penyertaan untuk satu festival dibatalkan.

“Sejujurnya kami juga adalah mangsa daripada apa yang berlaku sebelum ini. Bukan setakat beribu tetapi beratus ribu kami ‘hilang’ sebab percaya dengan mereka.

“Apa-apa pun kami tak mahu toleh ke belakang dan terus berfikiran positif dalam apa yang dilakukan.

“Jadi sekarang adalah peluang untuk kami restart atau bermula semula dan kami mahu bekerjasama dengan pihak yang sepatutnya iaitu syarikat yang mempunyai banyak pengalaman.

“Misalnya kami menganjurkan festival raya iaitu Absolut Bazaar  X Gaya Raya dengan kerjasama dengan My Events International yang mempunyai pengalaman dalam menganjurkan acara lebih 15 tahun.

“Begitu juga dengan kami yang merupakan selebriti dan rekod banyak acara yang kami anjurkan berjaya.

“Apa yang saya boleh cakap gabungan ini bukan sahaja untuk menjual Absolut Chocolat tetapi juga membantu selebriti dan para usahawan lain untuk bangkit semula,” katanya.

TIDAK mahu toleh ke belakang, Ben Ali dan Nadiyah Shahab menganjurkan festival raya demi membantu para usahawan di luar sana.

Bagi Nadiyah, semua orang terkesan dengan pandemik COVID-19. Jadi inilah masanya untuk sama-sama bangkit.

Untuk itu, berteraskan slogan ‘Restart, Reboot, Refresh’, Ben dan Nadiyah menerusi Absolut Event & Management Sdn. Bhd. mengambil langkah bekerjasama dengan My Events International Sdn. Bhd. dan Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Festival yang bakal dilangsungkan tanpa henti selama 66 jam ini akan diadakan pada 22, 23, 24 dan 25 April depan.

Menurut Ben Ali, penganjuran festival raya ini adalah untuk membantu ramai usahawan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 selain menghidupkan semula kemeriahan hari raya setelah dua tahun negara ‘berperang’ dengan wabak bahaya itu.

“Asalnya, kami memang nak sertai mana-mana acara hari raya. Tapi untuk tahun ini, saya dan isteri tertanya-tanya, acara mana yang kami boleh sertai menjelang hari raya tahun ini.

“Dalam masa yang sama, ramai yang syorkan kami anjurkan festival raya. Mereka melihat kejayaan acara Absolut Chocolat yang kami anjurkan sebelum ini.

“Jadi, bagi kami ini sesuatu yang baharu. Kami tak pernah anjur acara besar hari raya sebelum ini.

“Untuk itu kami cuba. Pertama untuk jual produk kami Absolut Chocolat sempena Hari raya. Kedua, ini adalah platform untuk vendor-vendor lain sertai sekali kerana setakat ini tidak ada festival raya yang lain. Jadi kami buatlah.

“Semua orang terkesan termasuk selebriti dan ramai usahawan. Jadi acara Absolut Bazaar X Gaya Raya ini diharap boleh membantu mereka berniaga dan menjana pendapat menjelang hari raya.

“Lagi pun ramai selebriti yang berniaga sepanjang pandemik COVID-19, saya harap dengan adanya cara ini boleh membantu mereka untuk lebih maju dalam perniagaan,” katanya.

MAJLIS perasmian festival raya terbesar Absolut Bazaaar X Gaya Raya yang bakal berlangsung di MITEC

Ben Ali juga memberi jaminan banyak kelebihan yang bakal dinikmati oleh vendor-vendor sepanjang festival raya tersebut berlangsung.

“Selaku penganjur, kami bakal menyediakan ruang acara yang kondusif serta persekitaran yang selesa. Kemudahan seperti surau yang mencukupi turut disediakan bagi pengunjung yang hadir.

“Malah mereka dialu-alukan untuk solat terawikh secara berjemaah di sini,” jelasnya lagi.

NADIYAH dan Ben berharap festival raya yang dianjurkan memberi manfaat kepada para usahawan yang terlibat.

Bukan itu sahaja, antara tarikan menarik adalah harga lot jualan yang ‘mesra pandemik’ bermula dengan harga serendah RM 2,800 bagi satu tapak untuk empat hari acara.

Sesiapa yang berminat boleh ke Instagram @absolutbazaar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas