Berita

Perkeso anjur Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023, lancar SKSSR hujung minggu ini

- Diterbit 8 Februari 2023 1:45 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara yang dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu ini bertujuan membawa skim perlindungan suri rumah berkenaan supaya lebih dekat dengan rakyat selain mengadakan temu duga terbuka berserta pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan dalam skala besar.

Sepanjang dua hari tersebut, orang ramai dapat berinteraksi secara terus dengan Perkeso bagi memahami manfaat SKSSR, di samping mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran di reruai yang disediakan.

“Para suami dan pihak ketiga seperti badan-badan bukan kerajaan atau syarikat swasta juga digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah,” menurut kenyataan itu.

Mula dilaksanakan pada 1 Dis 2022, SKSSR menawarkan faedah-faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) itu terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin ataupun bujang.

Sementara itu, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 yang merupakan karnival berskala besar pertama dianjurkan Perkeso bagi tahun ini menawarkan lebih 13,000 peluang pekerjaan daripada 140 syarikat merentas pelbagai sektor dan industri, dengan kira-kira 20 peratus daripadanya terbuka kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang, karnival itu bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, BSN, EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

Kenyataan itu menyebut pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang disediakan secara percuma juga diadakan sepanjang karnival berkenaan seperti penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya selain pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik menanti pengunjung.

“Penganjuran karnival ini merupakan satu daripada usaha berterusan KSM melalui Perkeso untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti OKU,” menurut kenyataan itu.

Perkeso menggalakkan pencari kerja untuk mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career  sebelum hadir ke karnival kerjaya itu manakala bagi majikan yang berminat untuk turut serta dalam karnival kerjaya anjuran Perkeso, mereka boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Perkerjaan Perkeso.

Sebarang maklumat lanjut, layari laman sesawang www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di 1-300-22-8000. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas