Berita

Kampong Bharu berpotensi besar jika dibangunkan semula

- Diterbit 10 Mei 2024 4:12 PM MYT

KAMPONG Bharu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan semula dan ia tidak seharusnya dipersiakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya mahu melihat penempatan itu dibangunkan serta tidak tertinggal dari arus pembangunan yang pesat dan moden disekitarnya.

“Di peringkat Kerajaan, kami ingin melihat Kampong Bharu yang merupakan kawasan penempatan Melayu di tengah-tengah ibu kota ini tidak tertinggal dari arus pembangunan.

“Kampong Bharu juga perlu berperanan sebagai kawasan perdagangan dan penempatan yang dibangunkan secara bersepadu dan mampan, menyediakan hartanah yang kompetitif, persekitaran yang vibrant, serta meningkatkan nilai ekonomi dan keseimbangan struktur sosial untuk semua golongan penduduk.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Anggota dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Sementara itu, Jawatan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) kekal disandang oleh Datuk Mohd Khay Ibrahim serta turut melantik seramai 13 orang Ahli Majlis Penasihat PKB.

Selain itu, Datuk Mohammad S. Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Ahli Majlis Penasihat PKB . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas