Berita

Penutupan sementara kilang proses ayam di Melaka tidak jejas bekalan ayam

KPDNHEP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu tersebut sebagai alasan untuk menaikkan harga ayam, kata Azman. Kredit foto oleh: Malaysia News Today/Kosmo KPDNHEP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu tersebut sebagai alasan untuk menaikkan harga ayam, kata Azman. Kredit foto oleh: Malaysia News Today/Kosmo
- Diterbit 24 Mei 2021 7:16 AM MYT

PENUTUPAN sementara kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka akibat penularan COVID-19 dalam dalam kalangan pekerja tidak menjejaskan bekalan ayam di pasaran, kata Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata sehingga kini tiada sebarang aduan diterima berkaitan bekalan ayam daripada pengguna.

“Bekalan semasa ayam di pasaran adalah mencukupi,” katanya.

Media melaporkan sebuah kilang memproses ayam terbesar di Melaka diarah menghentikan operasi mulai 22 Mei hingga 4 Jun ini setelah 175 pekerja syarikat tersebut disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan.

Azman berkata berdasarkan maklumat, ayam yang diproses di kilang tersebut hanya diedarkan di pasar raya besar, pasar raya, restoran dan premis runcit terpilih sahaja.

Beliau menegaskan tiada bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam diedarkan dari syarikat terbabit ke pasar-pasar basah.

Untuk meminimumkan kesan penutupan operasi kilang berkenaan, syarikat tersebut akan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada kilang di bawah rangkaian syarikat yang sama bagi menjamin kesinambungan produk di dalam pasaran, katanya.

Azman berkata KPDNHEP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mungkin menggunakan isu tersebut sebagai alasan untuk menaikkan harga ayam.

Sekiranya situasi tersebut berlaku, beliau menasihatkan pengguna untuk menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP melalui beberapa saluran yang disediakan iaitu portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; emel [email protected]; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan 03-8882 6088/6245 atau Whatsapp 019-279 4317. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas