Berita

Penubuhan Rumah Ronald McDonald ketiga di Hospital Tunku Azizah

Pengurus Besar, Ronald McDonald Rumah Amal Malaysia, Encik Mohd Nasri Mohd Nordin; Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar; Menteri Kesihatan, Y.B Dato’ Sri Dr. Adham Baba; Pengarah Hospital Tunku Azizah (HTA), Dr. Shamsul Anuar Kamarudin dan Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min ketika majlis menandatangani antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penubuhan Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur yang dahulu dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
- Diterbit 12 Januari 2021 3:03 AM MYT

PERSATUAN Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia bersama Kementerian Kesihatan Malaysia menandatangani perjanjian rasmi untuk menubuhkan Rumah Ronald McDonald yang terbaru di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur yang dijangka siap pada suku kedua tahun ini.

RMCH Malaysia menyumbang wang berjumlah RM500,000 kepada KKM untuk menyediakan fasiliti penginapan keluarga sebanyak 20 bilik yang lengkap dengan penyaman udara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut hadir untuk menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) tersebut yang ditandatangani Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamarudin.

Dr Adham dalam ucapannya berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa RMHC Malaysia berminat untuk menubuhkan sebuah Ronald McDonald di Sabah khusus buat keluarga pediatrik yang dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

“Kerajaan mengalu-alukan sumbangan yang diperuntukkan untuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah oleh RMHC Malaysia khusus buat masyarakat Sabah dan Sarawak.

“Dengan pendekatan ini, kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa,” kata Dr Adham Baba.

Azmir Jaafar berkata Rumah Ronald McDonald itu akan menyediakan kemudahan penginapan untuk keluarga pesakit pediatrik di Hospital Tunku Azizah, terutamanya buat keluarga B40 yang tinggal di luar Kuala Lumpur.

“Rumah ini dapat membantu keluarga pesakit untuk menemani anak mereka yang menghidap penyakit kritikal dan memberi tumpuan kepada rawatan dan pemulihan anak mereka.

“Setelah menyaksikan kejayaan dua Rumah Ronald McDonald lalu, hasil kerjasama bersama hospital universiti yang telah memanfaatkan keluarga yang memerlukan, dan inilah sebabnya RMCH Malaysia ingin bekerjasama dengan KKM untuk melengkapi hospital wanita dan kanak-kanak di bawah kementerian dengan rumah ini, terutamanya hospital dengan jumlah kemasukan pesakit yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis menandatangani MoU antara RMHC dan KKM di Putrajaya semalam.

Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah ini merupakan yang ketiga selepas di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) di Kuala Lumpur dan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) di Kubang Kerian, Kelantan. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas