Berita

NGO sambut baik pewartaan Kina Benuwa

- Diterbit 22 Mac 2024 10:15 AM MYT

LABUAN Society menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung pewartaan Hutan Simpan Kekal Kina Benuwa yang bakal menjadi pusat tumpuan ekopelancongan sekali gus merangsang ekonomi tempatan pada 5 Mac lalu.

Pengerusinya, Wan Abdul Rahim Wan Abdul Rahman berkata pengiktirafan itu merupakan perkara yang dinanti-nantikan seluruh penduduk dan berharap usaha itu tidak terhenti di situ sahaja kerana ia perlu ada perkembangan dari semasa ke semasa.

“Sebagai sebuah NGO yang aktif memperjuangkan hutan Kina Benuwa, kita amat menyambut baik dengan pengumuman menteri yang telah mewartakan hutan ini sebagai Hutan Simpan Kekal dan Labuan bakal menjadi tumpuan pelancongan dan secara tidak langsung mampu menjana pendapatan bagi ekonomi tempatan khususnya dalam sektor pelancongan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim mencadangkan agar pembangunan infrastuktur di kawasan itu perlu dilaksanakan segera supaya ia dapat memberi manfaat kepada penduduk sekali gus mencipta pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Hutan Kina Benuwa ini mempunyai peluang yang besar dalam meningkatkan sektor ekopelancongan di pulau ini jika ia dimajukan. Ini kerana kita melihat peluang itu bukan sahaja dari ekonomi malahan sumber semulajadi yang terdapat di hutan ini.

“Saya pasti jika hutan ini dimajukan dengan sebaik-baiknya ia bakal menjadi salah satu lokasi pelancongan yang boleh menjadi pemacu ekonomi di pulau ini khasnya kepada golongan nelayan,”katanya.

Ujarnya, status Kina Benuwa menerusi pewartaan sebagai Hutan Simpan Kekal ini haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya seperti hutan simpan lain di negeri Sabah yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antrabangsa.

6 Mac lalu, Nik Nazmi mengadakan lawatan kerja ke Labuan dan mengumumkan hutan Kina Benuwa sebagai Hutan Simpan Kekal sekali gus menjadi satu-satunya Hutan Simpan Kekal yang terdapat di Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas