Berita

Ke arah bandar rendah karbon

ZALIHA mengedarkan beg kepada pengunjung FRP2024 dalam menjayakan inisiatif kempen yang dijalankan
- Diterbit 22 Mac 2024 11:10 AM MYT

WARGA Wilayah Persekutuan diseru untuk membudayakan membawa bekas makanan sendiri ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan plastik membungkus makanan selari dengan usaha ke arah bandar rendah karbon.

“Kita semua sedia maklum tentang ancaman penggun­aan plastik konvensional yang banyak memberikan kesan negatif terhadap kesihatan dan alam sekitar.

“Malah ia mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai selain boleh menghasilkan bahan toksik merbahaya atau partikel halus yang menyerap masuk ke dalam tanah serta air sekali gus mengakibatkan pencemaran,” katanya selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Noridah Abdul Rahim dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Dalam masa sama, Zaliha berkata pihak JWP telah melaksanakan pelbagai program kesedaran, sesi libat urus bersama orang ramai serta pemain industri dan pameran produk biodegradasi bagi meningkatkan budaya membawa bekas dari rumah.

“Antaranya adalah Program Turun Padang (TUPA), taklimat bersama pihak berkepentingan, seminar, lawatan ke premis serta mengadakan pameran berkaitan dengan produk biodegradasi. Semua program ini diadakan khusus untuk menyuntik kefahaman dan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai penggunaan produk biodegradasi.

“JWP bersama agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan fokus dalam menggalakkan penggunaan produk biodegradasi di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” ujar beliau.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan pihak PPj juga meneruskan kempen menyokong inisiatif Putrajaya Bandar Hijau Rendah Karbon dan kesejahteraan komuniti sejagat melalui Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP2024).

“Antaranya Kempen Bawa Beg Sendiri/Bekas Makanan Sendiri ke Bazar Ramadan, Kempen Jualan Menu Rahmah, Kempen Jom Biodiesel, Kempen Save Food, Kempen Menggunakan Produk Biodegradasi, Kempen Elakkan Pembaziran Makanan (Beli Apa Yang Perlu) dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas