Berita

Pengaruh pornografi: “Tak boleh kawal anak 24 jam” – Mac Ruhayu

- Diterbit 1 Mac 2021 4:00 AM MYT

SEMAKIN hari zaman semakin canggih. Misalnya perkembangan pesat media sosial dan teknologi pada hari ini.

Lihat sahaja, golongan remaja sekarang banyak menghabiskan masa menggunakan telefon bimbit dengan mengakses internet, bermain permainan video dan bermacam-macam lagi aplikasi yang sentiasa menjadi tarikan.

Bagi penyanyi lagu Kita Ditakdirkan Bersama iaitu Mac Ruhayu, 46, tanggungjawab ibu bapa masa kini sangat mencabar kerana kewujudan media sosial dan pelbagai kandungan negatif di internet yang amat sukar untuk dibendung.

“Anak-anak sekarang membesar dengan teknologi canggih. Kita tidak boleh menghalang mereka menggunakan teknologi kerana itulah trend atau gaya hidup masa kini.

“Misalnya pengaruh media sosial yang amat sukar dibendung kerana ia adalah keperluan hidup sekarang. Cuma apa yang membimbangkan kemudahan ini disalahgunakan.

“Melalui media sosial, pornografi dan kandungan ganas sangat mudah untuk diakses di mana-mana sahaja.

“Ini merupakan cabaran untuk ibu bapa dalam membimbing dan melindungi anak-anak daripada terjebak dengan perkara tersebut,” jelas Mac Ruhayu yang menyedari tanggungjawab ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan ibu bapa tidak mampu untuk memantau aktiviti anak-anak sepanjang masa.

“Kita bukannya bersama mereka sentiasa. Jadi, tak boleh kawal mereka 24 jam. Apatah lagi ibu yang berkerjaya.

“Namun, ibu bapa perlu bijak menangani masalah ini. Mahu atau tidak, isu pornografi ini bukanlah isu remeh jadi ibu bapa tidak boleh lepas tangan.

“Cadangan saya, ibu bapa boleh mengambil tahu apa aktiviti anak-anak dalam talian dengan cara tersendiri.
“Dalam masa yang sama, anda perlu berterus-terang dan tidak malu untuk memberitahu anak-anak apa yang bagus atau tidak.

“Caranya itu terpulanglah kepada kreativiti masing-masing. Setiap anak perangai berbeza-beza, jadi kena bijak dalam mendekati mereka,” ujarnya lagi yang banyak membuat kerja amal bersama rakan-rakan artis lain dalam menjahit pakaian PPE untuk keperluan petugas barisan hadapan.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas