Berita

Penerbangan ke-50 Misi Vande Bharat bawa pulang 177 warga India

- Diterbit 21 Ogos 2020 9:15 AM MYT

PENERBANGAN pulang ke-50 di bawah Misi Vande Bharat India (VBM) membawa pulang kira-kira 177 warga India yang terkandas di Kuala Lumpur ke New Delhi, India, Rabu lepas (19 Ogos).

Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia, dalam satu kenyataan berkata penerbangan Air India Xpress IX 1121 ke New Delhi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, membawa semua warganegara India yang terkandas berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan akibat COVID-19.

Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi India Mridul Kumar hadir di lapangan terbang bagi meninjau proses dan bertemu dengan penumpang India yang pulang dengan penerbangan pulang ke-50 itu.

“Di bawah Misi Vande Bharat, bukan hanya warga India yang kembali ke tanah air, tetapi juga ramai rakyat Malaysia telah dihantar pulang dari India.

“Lebih penting lagi, lebih 800 warga India yang berada di pelbagai pusat tahanan di Malaysia juga dihantar pulang ke India dengan penerbangan VBM,” kata Mridul kepada wartawan ketika ditemui di lapangan terbang.

Pesuruhjaya Tinggi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas sokongan berterusan mereka dalam penghantaran pulang warga India.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran kerana memberikan sokongan tepat pada masanya dalam penghantaran balik warga yang terkandas dari India dan Malaysia.

Lebih 8,500 warga India yang tinggal di Malaysia telah dibawa pulang dengan penerbangan pemulangan VBM dalam tiga setengah bulan terakhir selepas pandemik COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas