Berita

Penduduk Putrajaya paling tertinggi daftar penerima vaksin COVID-19

- Diterbit 17 Mac 2021 4:26 AM MYT

JUMLAH individu yang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera kini mencecah lebih 5.7 juta orang setakat jam 12 tengah malam tadi.

Data yang dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Twitter, menunjukkan seramai 5,742,572 individu sudah mendaftar untuk menerima vaksin itu yang mewakili 23.7 peratus daripada populasi rakyat negara ini berusia 18 tahun ke atas.

Pendaftaran tertinggi direkodkan adalah di Putrajaya dengan 71.3 peratus atau 40,599 penduduk di wilayah itu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin.

Dua negeri merekodkan jumlah pendaftaran paling kurang dengan hanya 8.7 peratus atau 254,823 penduduk di Sabah serta 12.3 peratus atau 151,580 penduduk di Kelantan mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi MySejahtera.

Kuala Lumpur turut mencatatkan kadar pendaftaran memberangsangkan dengan 34.9 peratus atau 516,956 penduduk, disusuli Selangor (34.4 peratus/1,668,544), Pulau Pinang (29.7 peratus/410,841), Negeri Sembilan (27.4 peratus/233,024) dan Labuan (26.9 peratus/19,504).

Selain itu, Johor (25.8 peratus/732,516), Melaka (25.7 peratus/180,129), Sarawak (21.8 peratus/451,918), Perak (20.5 peratus/395,944), Perlis (18.8 peratus/35,456), Kedah (18.1 peratus/288,837), Pahang (17.8 peratus/219,796) dan Terengganu (16.9 peratus/142,145).

Sementara itu, data dikongsi JKJAV turut menunjukkan seramai 346,508 individu yang majoritinya petugas barisan hadapan sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

Selangor adalah negeri tertinggi mengagihkan vaksin itu dengan 41,913 dos, disusuli Perak (39,404), Sabah (33,966), Sarawak (32,465), Kuala Lumpur (31,740), Johor (26,185), Pahang (26,933), Kedah (23,871) dan Pulau Pinang (20,393).

Selain itu, Kelantan sudah mengagihkan 16,541 dos vaksin, selain Terengganu (15,725), Negeri Sembilan (14,489), Melaka (9,120), Perlis (8,038), Putrajaya (4,383) dan Labuan (2,342).

PICK bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama PICK yang menyasar memberi vaksin kepada kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa Dua imunisasi yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa Tiga pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan, berkata seramai 571,802 petugas barisan hadapan yang disenaraikan mendapat vaksin COVID-19 dalam fasa pertama PICK bakal menerima dos pertama mereka menjelang akhir bulan ini. – BERITA HARIAN

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas