Uncategorized

Penduduk bimbang kejadian berulang

LEMBU dan kerbau
LEMBU dan kerbau yang berkeliaran di kawasan perumahan penduduk Bukit Lanjan di sini.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:19 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

SEGAMBUT – Selepas bebe­rapa aduan dilakukan ter­masuk laporan di dalam akhbar, pemilik ternakan kerbau dan lembu yang berkeliaran di Bukit Lanjan di sini bertindak menutup kandangnya.

Bagaimanapun, tindakan yang dilakukan itu masih belum me­legakan hati penduduk setempat berikutan mereka bimbang sekiranya kejadian haiwan berkeliaran itu akan berulang.

Ini kerana, kata Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Bukit Lanjan, Abdul Halim Halid, pemilik berkenaan sering memindahkan kerbaunya ke lokasi lain apabila mendapati aduan berkaitan haiwan peliharaannya dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kesihatan.

“Selepas keadaan reda atau semasa musim haji, kerbau itu akan dibawa semula ke lokasi asal dan berkeliaran sekitar Bukit Lanjan.

“Saya yakin pemilik tersebut akan membawa semula ternakannya jika tiada penguatkuasaan tegas daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau Jabatan Kesihatan dan pihak bertanggungjawab yang lain,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Sehubungan itu, Abdul Halim berharap tindakan tegas dapat dikenakan kepada pemilik ternakan tersebut sekali gus mengelakkan kejadian kerbau berkeliaran berulang dan mengancam penduduk sekitar.

“Kenapa tidak buat tindakan tegas sedangkan ia salah?

“Cara dia (pemilik) tidak sesuai untuk masyarakat setempat. Benda ini akan berulang,” ujarnya.

Wilayahku edisi ke-52 lalu me­laporkan, pemilik kerbau dan lembu seolah-olah memekakkan telinga berikutan membiarkan haiwan ternakannya berkeliaran di atas jalan raya sehingga mengancam keselamatan penduduk.

Malah, keadaan itu juga menyebabkan kawasan sekitar busuk serta kotor berikutan najis haiwan berkenaan yang berselerakan di atas jalan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas