Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan tidak penting ke Asia Barat

Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan tidak penting ke Asia Barat

PUTRAJAYA – Wisma Putra mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia ekoran ketegangan di Asia Barat antara Iran dan Amerika Syarikat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang memantau dengan penuh perhatian terhadap keadaan semasa yang tidak menentu di rantau Teluk.

“Pihak kementerian ingin memberi nasihat kepada rakyat Malaysia yang tinggal atau sedang dalam perjalanan ke rantau berkenaan untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka.

“Mereka sangat digalakkan untuk terus mengikuti keadaan keselamatan di kawasan yang mereka tinggal atau lawati,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan berkata, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan diri dengan pejabat diplomatik Malaysia di negara terbabit mereka harus berbuat demi dengan segera di kedutaan atau konsulat besar Malaysia yang terdekat untuk memudahkan komunikasi dengan mereka sekiranya diperlukan.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui e-mel dan butiran terperinci mengenai kedutaan besar atau konsulat Malaysia di Asia Barat dan kawasan Teluk boleh diakses dari laman web www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission.

Kata kenyataan itu, berikutan penutupan sementara Kedutaan Malaysia di Iraq, Syria dan Yemen, perkhidmatan pendaftaran dan konsular disediakan melalui Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan (meliputi Iraq); Kedutaan Malaysia di Beirut, Lebanon (meliputi Syria) dan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman (yang meliputi Yemen).
“Kementerian juga ingin memberi nasihat kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan khususnya di kawasan di mana keadaan keselamatan adalah kritikal.

“Kementerian akan terus menjalankan penilaian menyeluruh mengenai perkembangan keadaan dan mengeluarkan nasihat dari semasa ke semasa kepada rakyat Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU