Berita

Pendidikan keamanan perlu untuk galak penyelesaian konflik tanpa kekerasan di Asean

- Diterbit 1 Ogos 2023 1:46 PM MYT

MENGINTEGRASI pendidikan keamanan dan kurikulum pendidikan ketenteraan profesional boleh membantu ke arah mencegah keganasan serta menggalakkan penyelesaian konflik tanpa kekerasan di ASEAN.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendekatan sedemikian adalah penting dalam landskap keselamatan yang kompleks ketika ini kerana campur tangan ketenteraan sering kali disertai dengan keperluan mewujudkan strategi bagi membina keamanan pascakonflik.

“Adalah penting pendidikan ketenteraan hari ini merangkumi konsep kritikal mengenai keamanan, prinsip kemanusiaan, hubungan sivil-ketenteraan dan usaha membina keamanan.

“Peranan pendidikan dalam pembinaan keamanan terutama dalam suasana pascakonflik boleh menyumbang secara signifikan ke arah penyatuan keamanan,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat ke-25 Ketua-Ketua Universiti, Kolej dan Institusi Pertahanan Forum Serantau 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata kestabilan di rantau ASEAN hendaklah diutamakan dan kesemua hasil ini perlu direalisasi di peringkat dasar.

Mengulas penganjuran acara itu, Mohamad berkata ia menjadi platform untuk berkongsi pengalaman mengenai amalan terbaik dan pengajaran yang diperoleh ke arah usaha membina keamanan.

“Melalui penyelidikan bersama, inisiatif pembiayaan dan program bergerak, kita boleh menambah baik biasiswa akademik mengenai wacana pembinaan keamanan. Kita juga mungkin memfokus kepada kerjasama serantau ke arah pembinaan keupayaan dan latihan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas