Berita

Zulkifli temui Kedutaan Arab Saudi bincang isu tangguh haji

IBADAH haji mungkin terpaksa dibatalkan sekiranya wabak Covid-19 masih terus melanda dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 1 April 2020 10:13 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan melakukan kunjungan hormat ke Kedutaan Arab Saudi dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci tentang isu penangguhan ibadah haji berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Jelas beliau, keputusan perbincangan itu akan diulas secara menyeluruh pada minggu hadapan.

“Insya-Allah, kita akan buat temujanji, kami ada hubungan baik sebelum ini, tapi itu atas nama mufti, sekarang atas nama menteri.

“Nanti kami akan bincang untuk dapatkan satu kepastian yang baik. Fokus perbincangan adalah masalah haji,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program Musaadah Khaira Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di sini hari ini.

Disoal sama ada ibadah haji akan meneruskan atau tidak, Zulkifli berkata, perkara itu tidak dapat dipastikan lagi sebaliknya ia akan dibincangkan secara lebih terperinci dan pertemuan turut melibatkan Tabung Haji serta wakil kementerian.

Sebelum ini, Arab Saudi melalui Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas