Berita

Annuar kesal ada pihak timbul kekeliruan soal Bazar Ramadan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 1 April 2020 10:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kesal apabila ada pihak yang menimbulkan kekeliruan berhubung kenyataannya semalam berkaitan operasi Bazar Ramadan.

Beliau menyatakan, kenyataannya itu dipetik di luar konteks hinggga ada yang membuat telahan bahawa pihaknya membuat keputusan untuk meneruskan Bazar Ramadan pada tahun ini sedangkan huraian asal adalah berbeza.

“Saya ingin tegaskan adalah sangat penting bagi kita menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat dan menguruskan segala-segalannya dengan baik.

“Mana mungkin saya dengan mudah boleh membuat satu kenyataan yang begitu simplistik, kata Bazar Ramadan akan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar secara langsung melalui laman Facebook beliau hari ini.

Ia juga disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Tanpa menafikan ada pihak yang cuba mempolitik perkara itu, Annuar meminta orang ramai tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan matlamat utama untuk menjaga kepentingan awam terutamanya soal keselamatan dan kesihatan.

“Belum ada keputusan seperti kononnya kata Bazar Ramadan diteruskan, tidak ada dan belum ada keputusan yang sedemikian.

“Kedua, saya sudah kata saya hendak dengar dahulu taklimat daripada pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan apakah yang mereka rancangkan.

“Saya beri masa kepada mereka dua tiga hari untuk mereka sediakan dan pada Jumaat ini mereka perlu beri taklimat dan update kepada saya,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas