Agama

Bagaimana solat tarawih jika Covid-19 belum berakhir? Dengar apa kata Pengerusi Majlis Dakwah Negara

Solat tarawih sebenarnya solat tahajud atau qiamulail yang merupakan amalan para sahabat Rasulullah SAW
DR. MAHMOOD ZUHDI ABDUL MAJID
- Diterbit 1 April 2020 8:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini dicadangkan agar menerima alternatif bersolat tarawih di rumah sama ada secara berseorangan atau bersama keluarga sekiranya wabak Covid-19 belum berakhir menjelang Ramadan ini.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus, Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, bersolat tarawih di rumah sendiri dan bukan di masjid sebenarnya adalah amalan para sahabat Rasululllah SAW.

Katanya, ini kerana solat tarawih sebenarnya merupakan solat tahajud atau solat malam qiamullail.

“Berasaskan kepada hakikat yang tersebut di atas, saya menyeru kepada umat Islam di seluruh negara, agar tidak merasa kecewa dengan kedatangan Ramadhan yang suram ini.

“Kehilangan peluang untuk bersolat tarawih beramai-ramai di masjid dan surau boleh digantikan dengan yang lebih baik iaitu bersolat tarawih di rumah sendiri bersama keluarga sebagaimana diamalkan para sahabat Rasulullah SAW,” katanya dalam laman Facebooknya.

Mahmood berkata, sama ada wabak ini segera pulih atau sebaliknya, umat Islam tidak lama lagi akan menyambut bulan Ramadan al-Karim di mana biasanya mereka berpuasa pada waktu siang dan bertarawih pada waktu malam.

“Untuk berpuasa tidak ada masalah, kalau wabak ini belum berakhir.
Tetapi untuk bertarawih, tentu ada sedikit sebanyak masalah kerana kita biasa bertarawih secara beramai-ramai sama ada di masjid atau pun di surau atau sekurang-kurangnya di madrasah berhampiran dengan rumah kita,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru umat Islam sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar dapat melepasi ujian yang sedang dihadapi ini dengan seberapa segera dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Apa pun juga, di sebalik keburukan yang kita alami akibat daripada wabak yang menyeluruh ini, tentunya ada kebaikan yang akan kita perolehi. Sama ada kita sedari atau pun tidak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas