Berita

Pemilik dan pemandu jentuai diminta lebih bertanggungjawab

- Diterbit 9 Februari 2021 6:39 AM MYT

ORANG ramai sekitar kawasan bendang di Perlis meminta pemilik dan pemandu jentuai agar lebih peka dan bertanggungjawab semasa mengerjakan sawah yang berhampiran dengan jalan raya, kerana sisa bongkah tanah yang ditinggalkan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain khususnya penunggang motosikal.

Seorang pekerja swasta Azhar Ismail, 38, berkata ia bukanlah masalah baharu, malah berlaku setiap tahun, namun disebabkan kurang penguatkuasaan dan kesedaran, masalah itu bagaikan tiada kesudahan.

“Jika ditanya orang kampung sekitar Kangar, Arau mahupun di Padang Besar, mereka pasti akan cerita pengalaman masing-masing pernah jatuh motosikal atau hampir jatuh disebabkan terlanggar bongkah tanah yang ditinggalkan ‘mesin padi’ (jentuai).

“Namun kecederan yang dialami tidak teruk dan hanya luka-luka ringan, menyebabkan pihak berkuasa mungkin tidak mempunyai rekod tentang kejadian ini kerana kes jatuh motosikal jarang dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berharap mereka yang terlibat dalam industri pertanian memandang serius perkara ini walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perlis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk perbincangan dengan pemilik jentuai bagi menangani isu ini.

Turut berkongsi pendapat, Noriah Abdullah, 32, berkata beliau pernah hampir jatuh motosikal tahun lepas akibat mengelak bongkah tanah yang ditinggalkan oleh jentuai ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Saya harap pemandu jentuai fikir keselamatan pengguna jalan raya yang lain, jangan hanya pentingkan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Nurulhisham Yaakob berkata kerajaan negeri meminta agar pengusaha jentuai di negeri ini agar lebih bertanggungjawab dan tidak menguna jalan utama selepas menuai hasil padi.

“Saya nasihat pemandu jentuai supaya mengunakan jalan yang jarang digunakan ramai, agar bongkah tanah yang ditinggalkan tidak menjejaskan pengguna jalan raya yang lain, selain itu ia juga mengotorkan jalan,” katanya.

Pengarah JPJ Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah pula ketika dihubungi berkata pihak melakukan operasi setiap kali musim menuai padi bagi memastikan bahawa orang ramai mematuhi undang-undang di bawak Akta Pengangkutan Jalan (APJ) .

“Perkara ini bukan satu masalah baharu sebaliknya pihak JPJ setiap tahun menjalankan operasi khas ini memberi advokasi dan nasihat perundangan kepada pemandu jentuai,” katanya.

Fatimah berkata hasil pemeriksaan keatas sembilan buah jentuai pada Sabtu lalu (6 Feb)JPJ mendapati hanya sebuah sahaja berdaftar, manakala lapan lagi merupakan jentera yang tidak didaftar di bawah seksyen 7 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya JPJ juga akan mengambil tindakan terhadap dua orang pemandu jentuai kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika memandu jentera terbabit di Jalan Bongor Kudung dan Kangar mengikut notis yang yang dikeluarkan dibawah Seksyen 114 APJ. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas