Berita

Keluarga wanita maut kemalangan di Australia harap dapat bawa pulang jenazah

- Diterbit 9 Februari 2021 6:43 AM MYT

KELUARGA kepada wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam, berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam satu kemalangan di Griffith, Australia bagaimanapun tiada maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Anak sulung mangsa, Rushaniena Izani, 26, berkata ibunya yang juga seorang ibu tunggal, ke Griffith seorang diri pada bulan Febuari tahun lepas untuk bekerja di sana.

“Saya dimaklumkan dia bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam. Pada 21 Feb ini genap setahun dia berada di sana. Dia sepatutnya berada di sana selama lima tahun dan akan pulang ke tanah air pada 2024.

“Saya tahu kejadian yang menimpa ibu daripada ibu saudara yang tinggal di Lunas, Kulim. Rakan serumah ibu di sana menghubungi ibu saudara dan memaklumkan kejadian tersebut dan difahamkan kereta yang dipandu ibu terbabas sebelum dia tercampak keluar dari tingkap,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Rushaniena berkata jenazah ibunya kini berada di Hospital Sydney, Australia untuk proses bedah siasat dan dia bersama-sama dua adiknya masing-masing berumur 19 dan 14 tahun berharap jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia.

Menurut Rushaniena, pihak Wisma Putra telah menghubungi ibu saudaranya kira-kira 9.30 pagi tadi yang bertanyakan sama ada mahu jenazah ibunya dikebumikan di negara berkenaan atau dibawa pulang ke tanah air yang memerlukan kos sekitar RM50,000.

“Buat masa ini, tiada wakil keluarga yang ke sana. Kami sedang mengumpul dana kerana sangat berharap dapat membawa jenazah ibu pulang ke Malaysia untuk dikebumikan di kampung halamannya.

“Kali terakhir kami berhubung dengan ibu sekitar dua, tiga hari lepas dan memang tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh ibu kerana dia bersembang dan gelak seperti biasa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas