Berita

Pemain industri perlu kreatif, berdaya saing pacu ekonomi digital

|
- Diterbit 20 Februari 2021 2:45 PM MYT

DALAM keadaan pertumbuhan ekonomi yang masih di luar jangkaan dan peningkatan jumlah pengangguran sehingga mengakibatkan jurang kemiskinan bandar semakin besar, kreadibiliti seseorang individu dilihat sudah tidak relevan pada masa ini.

Malah, belum tentu bantuan kerajaan serta pengalaman lebih 20 tahun dalam sesuatu bidang kerjaya yang dimiliki itu mampu memberinya ‘makan dan memenuhi keperluan hidup’.

Justeru, perubahan besar perlu dilakukan bagi memastikan kehidupannya dapat diteruskan dalam situasi negara yang dilanda pelbagai isu terutama wabak COVID-19 yang mengakibatkan ekonomi dunia terjejas selain ketidakstabilan politik.

MUHYIDDIN berucap secara maya ketika melancarkan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada 19 Februari.

Antara perubahan yang perlu dilakukan adalah menukar mentaliti daripada seorang pekerja yang ‘menurut perintah’ kepada individu yang mempunyai kreativiti tinggi dan ‘pencipta’ dalam usaha menjana kewangan sendiri.

Dengan cara itu, usaha kerajaan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan 19 Februari lalu, dapat memacu pembangunan sosioekonomi yang inklusif sejajar objektifnya yang mahu menggalakkan pemain industri menjadi pencipta dan pengguna model perniagaan yang inovatif serta berdaya saing dalam ekonomi digital.

Ini kerana, pendigitalan adalah salah satu elemen penting dalam membantu menjana ekonomi dan seiring pelaksanaan norma baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Unit Perancang Ekonomi diberi mandat untuk menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang mengandungi tiga objektif dasar dan dirangka untuk memenuhi visi negara dalam mencapai digitalisasi.

MyDIGITAL LENGKAPI WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030

MENYEDARI permasalahan yang melanda pada masa ini, kerajaan memperkenalkan dasar MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia bagi menggalakkan pemain industri menjadi pencipta dan pengguna model perniagaan yang inovatif serta berdaya saing dalam ekonomi digital.

RAZMAN

Mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia mampu memperbaiki dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat kerana menjadi pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Selain itu, ujar beliau, ia merupakan inisiatif yang komprehensif merangkumi pelbagai sektor ekonomi, industri dan lapisan masyarakat.

“Jika semua matlamat itu dicapai, MyDIGITAL mampu membawa Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang diharapkan,” jelasnya yang menyokong penuh dasar tersebut.

Disoal mengenai capaian jalur lebar yang masih terhad, Ahmed Razman berkata, dia juga yakin bahawa inisiatif di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) mampu memastikan hampir 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan rangkaian gentian optik talian tetap menjelang 2025.

Beliau memberitahu, apabila infrastrukur dan segala kemudahan untuk mengakses internet disediakan di bawah
MyDIGITAL, cabaran kepada kerajaan yang seterusnya ialah pembangunan modal insan iaitu memastikan seluruh rakyat celik internet dan mampu menggunakan kemudahan yang diberi bagi mencapai impak yang diharapkan.

“Jika usaha ke atas m odal insan dapat dilakukan dengan menyeluruh dan berkesan, negara akan dapat menghasilkan pekerja, peniaga, usahawan yang berkemahiran tinggi dalam ekonomi digital dan ia menyumbang kepada hasil negara bukan sahaja peringkat domestik malahan global.

“Sektor pendidikan juga akan mendapat manfaat penting untuk memastikan setiap individu di Malaysia tidak dipinggirkan dalam usaha menaik taraf hidup masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Razman berharap setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan diiringi pelaksanaan selain memastikan kepentingannya difahami di s etiap peringkat institusi dan agensi.

“Kita lihat bagaimana Dasar Automatif Negara yang dilancarkan tahun lepas namun masih tidak mampu menarik pembuat kereta global bertapak di negara kerana ia tidak jelas dari segi pelaksanaan dasar terutamanya melibatkan industri kereta elektrik.

“Kerajaan Indonesia mengambil peluang tersebut dan berjaya menerima banyak peluang pelaburan. Oleh itu, kita juga tidak mahu terlepas lagi dalam menarik pelaburan gergasi internet untuk bertapak di sini setelah melancarkan dasar, atas asbab kegagalan dalam melaksanakannya disebabkan ketidakfahaman, kekeliruan atau ketidaksungguhan mereka yang bertanggungjawab atas dasar ini,” tegasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas