Berita

“Lagu Mantan Isterimu bukanlah menyokong perosak rumah tangga” – Haiza

- Diterbit 20 Februari 2021 10:22 PM MYT

APABILA berlakunya pergolakan rumah tangga, sesetengah masyarakat sering menyalahkan si perampas tanpa kita mengetahui hal sebenar.

Belum tentu si perampas itu bersalah dan tidak semestinya mantan atau bekas isteri itu berada di pihak yang benar.
Siapa yang bersalah dan kenapa situasi ini berlaku, hanya mereka yang tahu.

Penyanyi yang juga penyampai radio, Haiza kini muncul dengan lagu Mantan Isterimu yang berkisarkan tentang perosak rumah tangga.

“Lagu Mantan Isterimu bukanlah menyokong perosak rumah tangga atau bersetuju dengan isu rampas merampas dalam rumah tangga.

“Apa yang ditulis oleh penulis liriknya, Iman Imran rasanya sangat mudah difahami.

“Biasanya wanita yang ditinggalkan (mantan) diberi cerita-cerita yang positif tetapi wanita yang lagi satu (yang dikatakan perampas) sentiasa dipandang serong sedangkan pergolakan rumah tangga setiap pasangan terjadi hanya mereka yang tahu.

“Siapa yang salah siapa yang benar,itu pun kita tak boleh hukum atau nilai. Jadi lagu ni hanya bercerita sisi isteri baharu yang mengingatkan suaminya supaya berjaga-jaga kerana mantan isterinya tu tak akan serik nak kacau dan sentiasa ada dalam kehidupan dia,” luah Haiza yang teruja dengan Lagu ciptaan Ajai ini.

Masih mengekalkan irama dangdut yang sebati dengan dirinya, Haiza akui dia perlu tampil dengan konsep muzik yang boleh diterima ramai.

“Genre muzik yang saya bawa memang dangdut sejak dulu dan kita sentiasa tengok keadaan semasa apa yang perlu ditokok tambah supaya muzik dangdut itu kekal relevan.

“Kali ini Ajai ketengahkan world music, kiranya ada fusion dan asas muzik dangdut itu tetap ada.

“Iya, memang sebelum ini saya pernah muncul dengan lagu berentak balada, namun itu bukan kayu pengukurnya kerana itu adalah special project.

“Apa-apa pun ramai peminat suka saya nyanyikan lagu balada,” ujarnya lagi.
Sempena pelancaran lagu Mantan Isterimu, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Birding, 41, berharap lagu ini diterima peminat dan menjadi buah tangan istimewa buat mereka.

“Saya hanya inginkan lagu ini menjadi ‘penglipur lara’ buat pendengar, dalam masa yang sama mereka dapat mendengar kisah yang again berbeza berbanding lagu-lagu saya sebelum ini.

“Saya juga sentiasa bersemangat untuk menghasilkan produk-produk baru.Demi kesinambungan dalam karier nyanyian,terimalah buah tangan daripada saya khas buat semua,” jelasnya lagi yang merakamkan lagu Mantan Isterimu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan tahu lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas