Utama

Pelihara kesejahteraan kawasan Masjid India

MALAYAN Mansion kini dikawal ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
- Diterbit 19 April 2020 12:54 PM MYT

ADALAH suatu yang malang bahawa kawasan Jalan Masjid India dikenakan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat daripada kawasan lain.

Penduduknya tidak boleh keluar langsung dari kawasan itu. Kawat berduri dipasang di sekitar bangunan-bangunan di kawasan itu. Antaranya ialah Selangor Mansion dan Malayan Mansion. Pasukan polis dan tentera lengkap bersenjata mengawal kawasan itu.

Langkah itu perlu bagi membendung wabak Covid-19 yang angkanya telah meningkat di kawasan. Ia telah menambah perangkaan Covid-19 negara dan sedikit sebanyak turut melewat-lewatkan lagi tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam keadaan sekarang tidak perlulah menyalahkan mana-mana pihak bagaimana ia terjadi. Tentulah diharapkan perkara itu tidak berlaku. Tetapi hakikatnya perkara itu telah berlaku dan ia tetap perlu dihadapi.

Dalam PKP yang asal pun, penduduk di kawasan Jalan Masjid India juga sudah sunyi. Kedai-kedai tutup. Mereka hanya boleh pergi beli makanan untuk dibawa balik. Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion itu mempunyai restoran mamak yang popular. Dalam PKP pastinya, mereka hanya boleh membeli makanan untuk membawa balik.

Farmasi di kawasan itu tentunya boleh dibuka untuk keperluan orang ramai. Penulis tidak ingat sama ada di situ ada kedai runcit atau tidak. Tidak diketahui bagaimana selama ini penduduk kawasan Jalan Masjid India itu memperolehi bahan mentah makanan mereka.

Di situ Masjid India pasti ditutup. Azan berkumandang tetapi hanya imam dan bilal bertugas mungkin bersembahyang pada masa kini. Dalam sejarahnya, mungkin inilah keadaan pertamanya sedemikian.

Masjid India adalah antara masjid tertua di Kuala Lumpur. Pasti ia sudah mengharungi banjir besar tahun 1926, tidaklah diketahui bagaimana keadaannya. Kemudian dalam Perang Dunia Kedua, pasti tentera Jepun masuk ke kawasan itu.

Sama ada masjid itu dibuka atau tidak, tidaklah diketahui. Kemudian masa Peristiwa 13 Mei berlaku pada tahun 1969, perintah berkurung atau curfew dikenakan pada seluruh Kuala Lumpur, semua masjid rasanya ditutup, termasuklah Masjid India. Begitu juga semasa banjir besar tahun 1970.

Masjid pertama Kuala Lumpur adalah sebuah masjid yang juga terletak di Jalan Tun Perak, tetapi berseberangan sungai dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur yang ada sekarang. Masjid yang didirikan oleh orang Sumatera, khususnya dari Minangkabaun sama ada dari suku kaum Minang atau Mandailing tentulah mempunyai khutbah yang disampaikan, dalam bahasa Melayu.

Masjid yang dibuat daripada papan dan beratap rumbia ini kemudiannya dirobohkan apabila Masjid Jamek sekarang ini dibina.

Maka kemudian sebuah masjid didirikan di seberang jalan itu untuk menampung orang yang datang dari Tamil Nadu, India. Mereka tidak faham khutbah dalam bahasa Melayu. Pada mulanya dibina daripada kayu dan khutbahnya dalam bahasa Tamil. Maka jalan di situ dinamakan Indian Mosque Road. Di sebelah itu adalah penempatan orang India.

Selepas merdeka, masjid kayu diruntuhkan dan digantikan dengan masjid batu yang tersergam. Jalan itu juga ditukar nama menjadi Jalan Masjid India.

Minum teh

Penempatan di sebelah itu dirobohkan dan didirikan dua bangunan rumah pangsa moden. Ia dinamakan Selangor Mansion dan Malayan Mansion. Ketika itu Kuala Lumpur masih merupakan ibu negeri Selangor, dan nama negara ini adalah Malaya.

Sebelum PKP dahulu, penulis sering minum di sebuah gerai di bawah Malayan Mansion pada Ahad pagi. Ia merupakan tempat pertemuan bekas wartawan untuk meneruskan silaturahim. Ia dimulakan sejak 2008 oleh Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Beliau sendiri mula minum di situ pada tahun 1960-an ketika masih menjadi pemberita.

KENANGAN. KEDAI makan di Malayan Mansion menjadi tempat bersarapan setiap hari Ahad bagi bekas pengarang dan wartawan Utusan Melayu sejak 2008. Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin (kanan), Tan Sri Johan Jaafar (kiri) dan Zin Mahmud (dua dari kanan).  Gambar bertarikh 12 Februari 2017

Selepas PKP ditingkatkan lagi, maka tiada sesiapa boleh masuk ke situ. Penduduk-penduduknya pun tidak boleh keluar. Ia merupakan suasana susah bagi penduduk di situ. Ini kerana mereka tidak boleh keluar sendiri untuk membeli bahan makanan. Bekalan disediakan oleh pihak kerajaan, dan sebarang keperluan perlu diuruskan dengan petugas berkaitan.

Tetapi bekalan makanan hanya diberikan pada warganegara Malaysia. Warga negara asing perlu diuruskan oleh kedutaan-kedutaan negara masing-maling walaupun pihak berkuasa akan membantu.

Di kawasan Jalan Masjid India sememangnya terdapat banyak pekerja asing. Adalah dipercayai, paling banyak datang dari India. Walaupun tentunya terdapat pekerja dari negara-negara lain seperti Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Thailand dan Myanmar. Bagi membantu mereka, ada NGO yang turut memberi sumbangan.

Pada waktu-waktu ini sememangnya ia merupakan suasana susah bagi kawasan Jalan Masjid India. Tetapi bukan saja kawasan itu susah, tetapi seluruh Kuala Lumpur, Malaysia dan seluruh dunia sedang menghadapi cabaran Covid-19.

Banyak orang termasuk penduduk kawasan Jalan Masjid India mungkin  tidak faham, atau dapat menerima mengapa perlu mereka dikurung dalam rumah. Mereka pula hanya fikir mengenai gangguan kehidupan seharian mereka saja.

Kalau tidak terpaksa, tidak ada halnya bagi pihak berkuasa untuk bersusah-susah mengenakan sekatan keluar dari rumah. Kawasan Jalan Masjid India itu sesak dan sukar untuk melakukan penjarakan sosial. Ditambah pula dengan banyak orang tidak mempedulikannya.

Hakikat bahawa virus mudah terjangkit dengan berada pada kedudukan rapat tidak dapat difahami mereka. Ada pula yang berpendapat mereka mempunyai imun yang kuat kerana cara pemakanan mereka yang banyak kari boleh menghalang jangkitan virus itu.

Kluster

Tetapi hakikatnya sudah ada kluster dalam kawasan Jalan Masjid India. Kalau mereka tidak menunjukkan simptom tetapi sebenarnya positif infeksi, mereka menjadi penyebar.

Ada pula beranggapan bahawa mereka hanya berserah. Jika kena, mereka perlu saja ke hospital. Tetapi ia tidak seperti penyakit biasa. Ini wabak yang merebak dengan pantas. Akibatnya hospital tidak akan berupaya untuk menanggung jika berlaku ledakan. Ia boleh menyusahkan semua orang.

Hakikatnya sekarang, apa yang perlu dilakukan ialah membendung wabak. Kejayaannya bergantung pada anggota masyarakat. Pihak berkuasa hanya menguat kuasa tetapi akhirnya yang menjayakannya adalah pematuhan pada arahan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Semua berharap cabaran ini dapat diatasi dengan segera dan kawasan Jalan Masjid India boleh pulih diikuti dengan kehidupan biasa dapat berjalan.

Tetapi sebarang tindakan-tindakan negatif daripada para penduduk  boleh mendatangkan kesan buruk jangka panjang bagi kawasan itu. Kuala Lumpur ini, terutama di kawasan komersial bukanlah hak milik penduduk tempat-tempat itu, atau pemilik-pemilik harta di tapak situ, ia adalah milik semua rakyat Malaysia. Ini kerana para pelanggan pergi ke situ untuk membeli-belah. Ekonomi para pekedai bergantung pada para pelanggan.

Sememangnya suasana menghadapi Covid-19 mencabar. Kalau warga Kuala Lumpur dahulu pernah menghadapi banjir tahun 1926, Perang Dunia Kedua, Peristiwa 13 Mei dan banjir besar tahun 1970. Kali ini giliran warga Kuala lumpur generasi abad ke-21 menghadapi cabaran.

  • Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang berpengalaman selama tiga dekad dalam industri persuratkhabaran, buku dan majalah. Pernah menjadi Pengarang Mingguan Malaysia, wakil Utusan Melayu di Kaherah, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas