Berita

Pelbagai agensi bantu PL sepanjang tahun, 28 operasi penguatkuasaan dilaksana

BARISAN kakitangan Jabatan Penguatkuasa Perbadanan Labuan
- Diterbit 8 Disember 2023 1:50 AM MYT

SEBANYAK 28 operasi secara bersepadu telah dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan (PL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan dengan pelbagai agensi di Labuan sepanjang tahun 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail, penglibatan dan pelaksanaan operasi secara bersepadu menjadi sebahagian penilaian prestasi Jabatan Penguatkuasa.

“Ia memerlukan bantuan sahabat-sahabat agensi penguatkuasaan khususnya di Labuan dalam memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan warga Labuan amnya.

“PL sebagai agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) merakamkan jutaan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam menjayakan operasi-operasi secara bersepadu bersama PL khususnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang diwakili oleh Timbalannya, Fadzilah Mahmud semasa Majlis Makan Malam Sesi Silaturahim Antara Agensi Penguatkuasa Wilayah Persekutuan Labuan di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias.

Antara operasi yang dijalankan Ops BAH Halangan Lalu lintas, Operasi Pencegahan Jenayah, Ops Kenderaan Terbiar, Ops Pusat Hiburan, Ops Pemantauan Bunyi Pusat Hiburan, Ops Biodegradasi, Ops Setinggan Tanah MUIS dan Pejabat Tanah Galian, Ops Sambung Kabel Haram di Kampung Gersik.

Rithuan turut menyeru semua agensi penguat kuasa di pulau tersebut terus bekerjasama dan bersatu tekad sebagai sebuah pasukan dalam memastikan penguatkuasaan di Labuan dijalankan dengan sebaiknya.

“Pasukan penguatkuasaan kita turut terlibat bersama agensi penguatkuasaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam misi bantuan banjir di Segamat, Johor bersama agensi sahabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya,” ujar beliau.

Pelbagai agensi telah bekerjasama melaksanakan operasi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas