Berita

Festival Orkid Putrajaya 2023: Cungkil bakat seni terarium

SEBANYAK 600 pokok orkid dari lapan negara akan dipamerkan sepanjang festival berlangsung. - Gambar hiasan
- Diterbit 8 Disember 2023 1:40 AM MYT

FESTIVAL Orkid Putrajaya 2023 bakal membuka tirainya pada 14 hingga 20 Disember ini bertempat di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya.

Pengunjung pasti terpesona seakan berada di negara Eropah kerana dikelilingi ratusan ribu jenis pokok, tumbuhan dan bunga-bungaan.

Bertemakan Pesona Anggerik, edisi kali ini akan menghimpunkan sebanyak 600 pokok orkid termasuk pelbagai jenis hiasan pokok-pokok berbunga seperti pokok palma, orkid VIP, orkid liar, pokok-pokok renek, tanah tinggi, pokok pakis serta lebih daripada 70,000 nos bunga semusim yang akan disusun hias di Nurseri Pusat Taman Wetland.

Uniknya, festival ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian bunga berwarna-warni dalam reka bentuk landskap yang indah tetapi turut dijual di gerai tapak festival.

Lebih menarik, acara yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 10 malam itu akan diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 14 Disember (Khamis) dengan anggaran jemputan seramai 200 orang.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Orkid Putrajaya 2023, ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Naib Presiden Jabatan Landskap & Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), LAr. HASLINDA KHALID.

Apakah matlamat penganjuran Festival Orkid Putrajaya pada kali ini?

Objektif penganjuran Orkid Putrajaya 2023 adalah untuk mempromosikan Putrajaya khasnya dan Taman Botani Putrajaya amnya dalam kepelbagaian produk pelancongan sedia ada di pusat pentadbiran kerajaan itu selain mempunyai potensi yang besar untuk menjadi salah sebuah destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa.

Di samping itu, acara ini dilaksanakan bagi mempromosi dan mengetengahkan pelbagai jenis orkid dan hibridnya, memperkenal serta mempamerkan koleksi-koleksi spesies orkid khas, unik dan rare yang terdapat di Malaysia sekali gus menyokong industri orkid.

Bukan itu sahaja, ia juga dapat memberi ilham dan idea reka bentuk hiasan, taman orkid dan bunga-bungaan lain kepada pengunjung dan orang ramai.

Persiapan menjelang Orkid Putrajaya 2023?

Kerja-kerja persiapan di tapak telah bermula sejak 22 November 2023 di mana antara komponen tema taman yang pengunjung boleh lihat nanti adalah seperti Vertical Wall, Orchid Mountain, Orchid Canopy Bridge, Petunia Tower dan Mokara Mural.

Apakah tarikan utama penganjuran pada tahun ini?

Antara tarikan pada kali ini adalah pihak kami akan mempamerkan 600 pokok orkid dengan penyusunan bunga dari lapan negara iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam, Taiwan dan Jepun.

Terdapat lebih 20 jenis orkid VIP akan dipamerkan di dalam Indoor Pavilion melibatkan orkid terdiri daripada nama-nama diraja dan orang kenamaan antaranya Vanda Queen Azizah, Dendrobium Raja Perempuan Fauziah, Vanda Sultan Idris dan Phalaenopsis Queen Bru Saleha.

Selain itu, pameran kali ini juga akan memperkenalkan kepada umum satu lagi orkid hibrid baharu bersempena perasmian Festival Orkid Putrajaya 2023. Nantikan kemunculannya pada 14 Disember ini!

Lebih menarik, pengunjung tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan masuk adalah percuma sepanjang tujuh hari acara berlangsung.

Antara pertandingan dan pameran yang akan diadakan?

Untuk kali ini, kita akan mempertandingkan 12 kategori Pertandingan Orkid yang mempertaruhkan lima anugerah merangkumi 16 trofi kejuaraan iaitu Grand Champion, Runner Up, Best Species, Best Malaysian Hybrid serta Best In Section.

Dalam masa sama, Pertandingan Terarium yang bertemakan Pesona Alam turut diadakan melibatkan lebih kurang 20 penyertaan jemputan bagi kategori terbuka yang terdiri daripada sekolah-sekolah menengah di Putrajaya serta rakan perkongsian pintar seperti Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Fakulti Reka Bentuk & Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) dan KrisPutra.

Tujuan pertandingan dan pameran ini adalah untuk mencungkil bakat setempat dan mempamerkan hasil seni terarium yang menarik dan kreatif selain menjadi sebahagian daripada tarikan Indoor Showcase di Pameran Orkid Putrajaya 2023.

Pemenang pertandingan tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan trofi; tempat kedua RM750, RM500 di tempat ketiga sementara tempat keempat hingga kelapan menerima anugerah merit RM250. Masing-masing turut membawa pulang sijil penyertaan.

Apakah antara pengisian program dan persembahan?

Untuk penganjuran kali ini, kami tawarkan lebih daripada 50 aktiviti dan persembahan pentas antaranya Bengkel Gubahan Bunga, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Hiasan Cup Cake, Bengkel Doodle Art, Bengkel Terrarium, Demo Masakan, Pertunjukan Fesyen Bertemakan Orkid, Larian Orkid Putrajaya, Zumba, Face Fainting, Badut, Superhero Costume, Maskot, Kuiz & Teka Teki?, Persembahan Malam Kebudayaan – Singgah Seni, Persembahan Tarian Kebudayaan & Buskers serta pelbagai aktiviti dan hadiah menarik menanti pengunjung.

Apakah antara aktiviti komersial dan jualan?

Sebanyak 27 lot gerai jualan Garden Bazaar disediakan yang terdiri daripada jualan Orkid (pelbagai spesies orkid hibrid dan hutan), airplant, hoya, fern, aeroid, cactus dan succulent serta tanaman landskap yang lain seperti ros, bunga raya, pokok buah, heliconia, buah nadir dan baja.

Pihak kami juga menyediakan kawasan jualan makanan dan minuman yang dikenali sebagai Coffee Village@Orkid Putrajaya yang mana sebanyak 40 gerai jualan makan dan minum bertemakan kopi disediakan dengan kerjasama Persatuan Peniaga di Kompleks Kerajaan Putrajaya.

Antara jenis jualan adalah seperti Ngopi, Kopi Susu Kurma, Nasi Daging Danok, Apam Balik Seri Menanti, Yong Tau Foo, Kopi Gantung Perlis, Mojito, Kopi Jepun, keropok lekor, kambing panggang, doki-doki dan banyak lagi selain 10 food truck disediakan dengan jenis jualan seperti Texas Chicken, oden, ayam Korea, minuman pelbagai kopi dan lain-lain.

Selain itu, terdapat fasiliti sokongan termasuk kerusi dan meja disediakan bagi memudahkan pengunjung menikmati makanan serta minuman yang dibeli sambil menonton persembahan buskers.

Sasaran pengunjung yang dijangka datang ke Orkid Putrajaya 2023?

Untuk festival kali ini, kami menyasarkan kehadiran 100,000 orang pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.

Bagi pengunjung yang hadir, kita akan menyediakan kemudahan seperti surau, tandas, kerusi roda buat Orang Kurang Upaya (OKU) atau warga emas serta paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari media sosial kami di Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas